Projek JDT ni dilancarkan pada 2013 tapi saya hanya berpuas hati mulai tahun 2020 – TMJ
Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan pasukan terbesar di Malaysia ketika ini apabila mereka mendominasi Liga Malaysia sejak 2013 dengan merangkul pelbagai kejuaraan sepanjang tempoh sembilan tahun.
Bagaimanapun kejayaan yang dikecapi oleh JDT tidak datang bergolek dan dalam tempoh yang singkat, sebaliknya ia adalah satu proses yang memakan masa yang cukup lama.
Perkara itu diakui sendiri oleh pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris yang berkata baginda hanya berpuas hati dengan pasukannya pada tahun 2020 apabila mereka dapat terapkan falsafah bola sepak mereka.
“Projek JDT dilancarkan pada 2013 tetapi macam mana pun untuk saya berpuas hati saya rasa mulai 2020 baru saya betul berpuas hati dengan cara permainan kami yang mana kami dapat terapkan falsafah kami dalam pasukan tersebut.
Untuk adakan satu falsafah bukan setakat falsafah sahaja, ia juga perlukan kualiti pemain-pemain yang boleh terapkan taktikal-taktikal tersebut,”
katanya dalam temubual eksklusif bersama sebuah radio popular tempatan pagi tadi.
TMJ juga lebih suka pasukannya bermain secara lebih kompak dan tidak meninggalkan ruang di bahagian tengah dan bersikap ruthless ketika melakukan serangan, tetapi apabila dalam bertahan mereka perlu bertahan sebagai satu unit.
Tambahnya lagi, selain itu baginda juga sangat menekankan soal possession football dalam corak permainan JDT.
Ia telah dibuktikan apabila skuad Harimau Selatan berjaya merangkul kejuaraan Liga Super sebanyak sembilan kali berturut-turut.
Selain kejayaan di peringkat domestik, JDT juga pernah berjaya menjulang Piala AFC pada tahun 2015 dan berjaya mara sehingga ke pusingan 16 AFC Champions League (ACL) musim lalu.