Thailand tolak sertai kejohanan CAFA, mungkin FAM boleh cadang Malaysia untuk ganti?

1,712

Untuk kejohanan bola sepak yang akan dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) pada Jun ini, persatuan itu turut menyenaraikan dua pasukan jemputan bagi memeriahkan kejohanan itu.

Selain daripada enam pasukan iaitu Tajikistan, Iran, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Afghanistan, persatuan itu turut menjemput Rusia dan juga Thailand.


Selepas dijemput untuk menyertai kejohanan bola sepak Asia Barat (WAFF) sebelum ini, jemputan terbaru ini menunjukkan reputasi tinggi skuad Gajah Perang itu berbanding pasukan Asia Tenggara lain.

Walaubagaimanapun, Thailand dilaporkan berkemungkinan besar akan menolak jemputan CAFA itu atas sebab kos yang tinggi dari segi lojistik dan juga hak penyiaran.

Mungkin peluang ini harus digunakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk ‘melobi’ kepada pihak CAFA bagi menggantikan Thailand menyertai kejohanan itu.

Ini merupakan satu pentas yang baik untuk negara bersaing dengan pasukan-pasukan yang lebih hebat terutamanya Iran yang menyertai Piala Dunia tahun lalu dan juga Rusia yang berada di kedudukan ke-37 dunia.

Ia boleh menjadi medan ujian yang amat baik buat negara bagi menghadapi saingan Piala Asia yang akan berlangsung Januari tahun depan.

Kesemua pasukan yang menyertai kejohanan itu mempunyai ranking yang lebih baik daripada Malaysia kecuali Afghanistan, justeru ia boleh mempersiapkan anak buah Kim Pan-gon sebelum bertemu lawan yang lebih besar pada kejohanan Piala Asia nanti.

Walaupun tidak semestinya pihak CAFA akan menerima usul tersebut, tidak salah mencuba kerana ia peluang yang tidak selalu hadir.

Lagipun, Malaysia juga salah satu gergasi di Asia Tenggara, tidak mustahil pihak CAFA akan menerima pasukan Malaysia untuk masuk ke kejohanan itu.