KBS akan teruskan Malaysia Sports League untuk cungkil bakat baru & perkenal ‘Swimming for the poor’
Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) mengesahkan bahawa pihak mereka akan meneruskan Malaysia Sports League (MSL) bagi membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat selain mahu mencungkit bakat baru di peringkat akar umbi.
“Antara dalam bajet kita ni memang kita akan teruskan sukan komuniti seperti MSL ini kerana kita mahu fokus pada program akar umbi,”
ujar Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.
Penganjuran MSL yang dilancarkan oleh Menteri KBS terdahulu iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu merangkumi peringkat daerah, negeri dan kebangsaan yang mana ia memberi tumpuan kepada lima jenis sukan iaitu futsal, bola jarring, badminton, bola keranjang dan sepak takraw.
Selain MSL, KBS juga akan kembali memperkenalkan Rakan Muda dan juga melancarkan program ‘Swimming for the poor’.
“Kami akan perkenalkan semua Rakan Muda dan satu lagi ‘swimming for the poor’ yang mana kami akan lancarkan kelas renang di kolam renang awam dan kini kami sedang mencari kolam renang awam untuk digunakan untuk program ini.
Ideanya adalah kolam renang ini adalah milik kerajaan dan kami akan lantik jurulatih-jurulatih yang akan mengajar kepada orang secara percuma,”
kata Menteri KBS, YB Hannah Yeoh.
Hannah berkata kelas renang secara percuma kepada masyarakat miskin ini akan berjalan pada setiap hari Sabtu dan Ahad.
Beliau juga berharap pihak ibu bapa akan memberikan komitmen jika mereka hantar anak ke kelas renang sekurang-kurangnya menghadiri sebanyak 12 kelas.
Dalam pada itu, Hannah berkata tujuan program ‘Swimming for the poor’ adalah bukan sahaja mahu memberi peluang kepada kanak-kanak yang tidak berpeluang untuk berenang, tetapi juga untuk mengurangkan insiden mati lemas dalam kalangan kanak-kanak.
“Sudah lama renang di peringkat komuniti dipinggirkan jadi kami kembalikan semula, pada masa sama mahu selesaikan dua masalah iaitu berkaitan isu sukan dan juga isu insiden lemas.
Ini kerana berdasarkan data rekod sebanyak 500 kes lemas setiap tahun. Setiap cuti sekolah kita akan dapat berita mengenai kes lemas di kolam renang dan sebagainya.”
Sementara itu, Hannah juga berkata pihaknya akan turut melancarkan program akar umbi komuniti untuk golongan wanita terutamanya suri rumah yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR).