Kita ada undang-undang kanun keseksaan, sebab itu kita tak buat akta sendiri – YB Hannah Yeoh

170

Menteri di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh memberitahu pihaknya tidak mahu memperkenalkan akta sendiri iaitu Akta Keselamatan Sukan kerana di negara sudah ada undang-undang.

Hannah berkata demikian selepas pelancaran Kod Sukan Selamat sebagai panduan dan rujukan kepada komuniti sukan mengenai skop sukan selamat dan tanggungjawab komuniti secara jelas dan menyeluruh.


“Kita ada undang-undang terpakai kanun keseksaan sebab itu kita tidak mahu buat akta sendiri.

Bayangkan jika kita buat akta sendiri dengan definasi sendiri dan bila seseorang atlet itu mengalami gangguan, dia akan keliru akta mana yang terpakai; kanun keseksaan ke bawah kuasa polis ke atau guna akta ini (Akta Keselamatan Sukan),”

katanya.

Berikutan itu, beliau mengambil keputusan untuk menggunakan akta utama yang digunakan pakai oleh pihak polis.

Dalam pada itu, Hannah berkata pelancaran Kod Sukan Selamat yang diperkenalkan oleh KBS berfungsi untuk melindungi komuniti sukan daripada sebarang bentuk penderaan, gangguan dan keganasan dalam sukan yang menjejaskan kesihatan mental dan fizikal.

Selain itu ia juga mahu mengukuhkan aspek integriti dalam tadbir urus badan sukan dan ekosistem sukan negara secara menyeluruh.

Ketika pelancaran Kod Sukan Selamat, sebanyak 31 buah badan sukan dan 16 jabatan serta agensi di bawah KBS turut hadir menandatangani perakuan sokongan kepada Kod Sukan Selamat.

Sementara itu, Hannah juga berkata setiap badan sukan dan organisasi berkaitan sukan perlu bangunkan polisi sukan selamat selaras dengan pindaan Jadual kedua dan Ketiga, Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) yang telah berkuatkuasa pada 10 Mac 2023.

“Kod Sukan Selamat ini kita guna definasi mengikut akta-akta yang terpakai di Malaysia dan kita juga standard antarabangsa Olimpik untuk bantu kita konsisten.

Saya sudah melantik seorang pegawai pelindung iaitu Melissa Akhir yang merupakan seorang peguam dan pakar gender di mana beliau akan membantu kes-kes yang berlaku di bawah seliaan KBS.”