Hawari Hashim mahu jadi OKU pekak pertama tawan Gunung Everest

452

Memegang status sebagai orang kelainan upaya (OKU) tidak menjadi penghalang buat Muhammad Hawari Hashim mengejar impiannya untuk menakluk gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest.

Hawari merupakan salah seorang daripada tiga pendaki dari Malaysia yang dalam misi Malaysia Everest 2023 bermula 2 April sehingga 3 Jun 2023 di Nepal.


Beliau yang merupakan pekerja di Muzium Pulau Pinang pada tahun lalu telah menyertai ekspidisi sama pada tahun lalu di mana mereka sudah berada kira-kira 7,600 meter dari paras laut di Yellow Band yang menyaksikan mereka hanya memerlukan anggaran 16 jam untuk tiba di puncak.

Namun hasrat mereka itu terpaksa ditangguhkan berikutan faktor cuacan dan keselamatan selepas berdepan angin kencang dan ribut salji sehingga 70 kilometer per jam.

Beliau merupakan satu-satunya pendaki yang berstatus OKU manakala dua lagi pendaki lain iaitu Lt. Kolonel Wang Askandar Ampuan Yaacub dan Azim Afif Ishak.

“Sebelum menyertai ekspedisi ini masalah untuk berkomunikasi bahasa isyarat, saya ambil pendekatan mengunakan isyarat yang biasa mudah di fahami oleh rakan pendaki terutamanya apabila kami memakai sarung tangan.

“Kita juga akan menggunakan khidmat bantuan sherpa yang akan turut sama dalam ekspidisi kami nanti, kerana cabaran utama saya adalah saya tidak dapat mendengar jadi bantuan sherpa untuk memberitahu apa yang perlu saya lakukan, maklum jika ada runtuhan salji,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Biarpun terpaksa berdepan kesukaran, beliau tetap nekad kerana mahu melakar sejarah menjadi pendaki pertama OKU pekak Malaysia yang berjaya menjejakkan kaki di puncak tertinggi dunia itu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa dirinya sememang seorang yang sukakan aktiviti lasak seperti mendaki gunung, jadi apabila ada peluang seperti ini sudah semestinya beliau teruja untuk turut serta.

“Sebenarnya saya memang sukakan, sayangkan aktiviti lasak seperti ini. Jadi apa bila ada peluang sebegini saya ingin menjadi orang pekak pertama untuk menyertai ekspedisi seperti ini.”

Ekspidisi Malaysia Everest 2023 berjaya direalisasikan dengan tajaan daripada kerajaan dan syarikat swasta.