Soleen Al-Zou’bi buka pintu kepada pemain futsal sertai Malayan Tigress, lebih ramai bakat baharu akan muncul

273

Sebagai persiapan untuk menghadapi kejohanan Sukan SEA pada Mei ini, ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita kebangsaan, Soleen Al Zou’bi mengadakan sesi percubaan dan pemilihan pemain bermula 14 Mac hingga 17 Mac 2023.

Pada sesi pemilihan tersebut, kelihatan ramai pemain yang hadir untuk mencuba nasib, dengan kelihatan ramai muka lama dan juga muka baharu.


Antara yang menarik perhatian adalah kehadiran pemain-pemain futsal yang turut menyertai sesi pemilihan tersebut seperti Intan Sarah, Farah Syakira dan Ainsyah.

Sebelum ini, Soleen pernah mengatakan bahawa beliau akan membuka pintu kepada pemain-pemain futsal untuk menyertai pasukan Malayan Tigress sekiranya mereka mempunyai bakat.

Ini dilihat sebagai satu tindakan bijak untuk memperbanyakkan lagi pemilihan pemain dan mencungkil lebih banyak lagi bakat-bakat daripada futsal yang boleh diketengahkan dalam bola sepak.

Harus diakui bahawa banyak sahaja pemain-pemain wanita yang lebih aktif dalam futsal sebenarnya mempunyai bakat besar dalam bola sepak seperti Intan Sarah.

Apabila mereka kini sudah mula menceburi bidang bola sepak pula, ia pastinya dapat meningkatkan tahap bola sepak negara serta menguatkan lagi saingan antara para pemain.

Melalui sesi percubaan dan pemilihan ini, ia adalah peluang untuk Soleen meneliti dengan lebih lanjut kemampuan pemain-pemain berkenaan secara langsung.

Mungkin sebelum ini mereka tidak mendapat peluang untuk menunjukkan bakat mereka, tetapi kini ruang sudah diberikan oleh Soleen sendiri.

Selain itu, Soleen juga turut memberi peluang kepada lima pemain yang beraksi dalam kelayakan Piala Asia Wanita B-20 tempoh hari iaitu S. Thivashini, Kanchenjeet Kaur, Lauren Hoh Ruyi, Nur Amirah Abdul Rahman dan Nur Najwa Irdina Zaidi.

Gabungan muka baru dan lama, serta pemain muda dan senior pastinya menarik untuk disaksikan.

Dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, pasukan bola sepak Malaysia masih lagi jauh ketinggalan berbanding negara-negara seperti Thailand, Filipina dan Vietnam.

Justeru, dengan inisiatif yang dilakukan oleh Soleen ini, diharapkan ia dapat memberi sesuatu yang positif kepada pasukan bola sepak wanita negara untuk menghadapi Sukan Sea di Kemboja Mei ini.