Khairul Helmi dirisik pasukan dari utara

183

Bekas pemain Melaka United FC, Khairul Helmi Johari memberitahu beberapa pasukan sudah menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat untuk musim 2022 termasuk sebuah dari utara.

Menurut Khairul Helmi atau lebih dikenali dengan panggilan Keon, selain pasukan dari utara beliau turut menerima tawaran daripada beberapa kelab lain.


“Memang ada pasukan yang menunjukkan minat untuk dapatkan khidmat saya, tetapi ia masih dalam proses rundingan jadi saya akan tengok macam mana nanti.

Jika ditanya saya memang mahu pilih pasukan daripada utara itu, bagaimanapun saya tidak dapat dedahkan lanjut mengenai butiran pasukan itu kerana belum ada kata putus. Saya akan umumkan jika sudah ada keputusan nanti,”

ujarnya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: Melaka United FC Facebook

Ketika ini pasukan utara yang bersaing di Liga Malaysia adalah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Penang PC, Perak FC dan Perlis FC. Jadi pasukan manakah yang akan menjadi destinasi Keon untuk musim hadapan?

Walaupun tidak mendedahkan butiran mengenai destinasi pasukan yang dimahukan, Keon memberi sedikit bayangan mahu membantu pasukan itu kembali ke persada liga.

Terdahulu Khairul Helmi meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan pihak pengurusan Melaka United apabila hanya mendapat tahu kontraknya ditamatkan menerusi media sosial dan bukannya dari pihak pengurusan.

Sumber foto: Melaka United FC Facebook

“Sebenarnya tiada isu pun. Cuma saya terkejut saja apabila tiada sesiapa yang beritahu mengenai penamatan kontrak, sebaliknya saya tahu bila tengok di media sosial rasmi.”

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa perkara itu sudah pun selesai apabila pihak pengurusan Melaka United telah menghubunginya untuk memaklum mengenai penamatan kontrak termasuk memohon maaf atas tindakan melulu media rasmi tanpa berbincang dengan pihak pengurusan.

Sumber foto: Melaka United FC Facebook

Terdahulu Khairul Helmi telah membantu pasukan Melaka United untuk layak ke separuh akhir Piala Malaysia sekaligus menamatkan penantian 38 tahun pasukan mara ke separuh akhir selepas kali terakhir berjaya menyamai pencapaian itu pada 1983.