Saya mahu bawa pemain nombor 42 JDT ke K League, beliau ada teknik yang bagus – Leo Jeong
Ketua Pegawai Eksekutif JMH Sports Agency, Leo Jeong mengakui beliau mempunyai perancangan untuk membawa beberapa pemain Malaysia untuk bermain dengan kelab di K League.
Beliau yang bertanggungjawab membawa sejumlah pemain dari negara itu ke Malaysia dalam saingan Liga Super musim ini berkata, antara pemain yang menarik minatnya adalah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman dan pemain Sri Pahang FC, Malik Ariff.
“Saya sedang memantau beberapa pemain di Liga Malaysia seperti pemain nombor 42 dari JDT (Arif Aiman) dan pemain nombor 10 dari Sri Pahang (Malik Ariff).
Saya ada menonton perlawanan di Malaysia dan saya rasa nombor 42 dari JDT ada teknik yang bagus, pemain nombor 10 Sri Pahang juga bagus, pada pendapat saya mereka boleh bermain di K League,”
Beliau berkata mahu cuba berunding dengan pihak pengurusan JDT bagi membawa Arif ke Korea Selatan.
Musim ini, Jeong membawa masuk ketua jurulatih dan seorang jurulatih untuk Kelantan FC, selain dua pemain dari Korea Selatan.
Selain itu, beliau juga bertanggungjawab membekalkan tiga pemain dari republik itu kepada Perak FC dan dua pemain untuk Sri Pahang FC.
Selain daripada Malaysia, beliau juga aktif berunding dengan kelab-kelab di sekitar Asia terutamanya Thailand, Jepun dan China, dengan 200 orang pemain berdaftar di bawah agensinya.
“Saya menghantar ramai pemain di sekitar Asia, kira-kira 200 orang tetapi ini adalah kali pertama saya bekerja di Malaysia.
Saya bawa dua jurulatih serta dua pemain ke Kelantan, dua pemain ke Sri Pahang dan tiga pemain ke Perak.”
Beliau berkata, setakat ini semua pemain gembira bermain di Liga Super dan merasakan tahap bola sepak di sini agak baik.
Menurutnya, beliau diberitahu oleh rakannya iaitu pemain KL City FC, Caion dan pemain Sabah FC, Park Tae-su mengenai Liga Malaysia dan terus membuat keputusan untuk mengembangkan perniagaannya ke sini.