Harap Syafiq Ahmad dapat tunaikan ‘harapan’ Faiz Hanif jaringkan gol ketika sarung jersi Harimau Malaya

799

Pemain BRM FC yang beraksi di saingan Liga M3, Faiz Hanif mencuri tumpuan ramai penyokong bola sepak tanah air selepas beliau seakan-akan memberi ‘cabaran’ buat penyerang negara Syafiq Ahmad.

Faiz yang mempamerkan aksi cemerlang memperlihatkan beliau berjaya menjaringkan gol buat pasukan BRM dan meraikan jaringannya itu seperti yang dilakukan oleh penyerang JDT itu sebelum ini.


Bagaimanapun apa yang menariknya adalah hantaran Instastorynya dengan kapsyen ‘2023 saya sudah…awak? @syafiq_ahmad20’.

Sebagai seorang pemain senior dan pemain kebangsaan, Syafiq menjadi idola dan ikutan buat sebahagian pemain lain, jadi adalah menjadi kebiasaan untuk pemain lain mencontohi apa yang dilakukannya.

Semua mengetahui bahawa sejak tempoh pinjaman Syafiq bersama Kedah Darul Aman FC dipendekkan, beliau kembali kerap memanaskan bangku simpanan.

Untuk musim 2023, Syafiq baru sahaja mengutip 10 minit permainan ketika menentang KL City FC pada 1 Mac lalu.

Mungkin disebabkan itu agak sukar buat Syafiq menjaringkan gol dalam saingan Liga Super setakat ini.

Namun baru-baru ini, nama Syafiq kembali menjadi sebutan selepas namanya tersenarai dalam senarai pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon untuk kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong pada 23 dan 28 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Segelintir penyokong mempersoal tindakan pengendali dari Korea Selatan itu menyenaraikan Syafiq berikutan beliau belum mempamerkan aksi terbaik kerana kurang mendapat minit permainan.

Mungkin Syafiq boleh menggunakan peluang ini untuk memperlihatkan kemampuannya sebagai penyerang berbisa sekaligus dapat kembali merebut tempat dalam skuad utama.

Beliau boleh menjadikan hantaran Instastory daripada Faiz itu sebagai motivasi untuk menjaringkan gol ketika menyarung jersi Harimau Malaya kelak.

Tugas berat menanti beliau pada kem latihan negara nanti bagi memastikan beliau akan terus kekal dalam senarai akhir skuad negara supaya berpeluang untuk diturunkan pada perlawanan persahabatan nanti.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen