Saya nak bawa pasukan K League untuk lakukan kem latihan di Stadium Sultan Ibrahim satu hari nanti – Leo Jeong

1,574

Ketua Pegawai Eksekutif JMH Sports Agency, Leo Jeong menyimpan hasrat untuk membawa pasukan daripada K League untuk melakukan kem latihan di stadium Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim.

Beliau berkata, JDT adalah sebuah pasukan yang amat baik dengan pemain-pemain yang bagus seperti Arif Aiman.


“Saya lihat JDT adalah sebuah pasukan yang baik, saya mahu cuba menghubungi orang di kelab tersebut.

Saya harap satu hari nanti dapat bawa pasukan daripada K League untuk adakan kem latihan di stadium milik mereka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jeong merupakan ejen yang membawa sembilan pemain serta jurulatih daripada Korea Selatan bermain dengan tiga kelab Liga Malaysia pada musim ini iaitu Kelantan FC, Sri Pahang FC dan Perak FC.

Beliau melihat tahap Liga Malaysia adalah baik namun sedikit ketinggalan dari segi tempo berbanding K League.

Katanya, musim ini adalah musim pertamanya mengembangkan perniagaannya ke negara ini setelah aktif di negara-negara Asia lain termasuk Jepun, China dan Thailand.

“Sebelum ini saya tidak tahu mengenai Liga Malaysia dan selepas membawa masuk beberapa pemain di sini saya rasa ia amat bagus, pemain yang datang juga beritahu saya mereka gembira.

Saya juga berharap dapat menembusi Liga Indonesia juga selepas ini, saya sudah mulakannya.”

Jeong berkata, dirinya bernasib baik apabila pemain-pemain yang dibawanya ke Malaysia ramai yang diterima oleh kelab-kelab berkenaan.