Perlawanan belum mula, Selangor FC tuntut mutu pengadilan tinggi ketika menentang JDT

515

Pertemuan Liga Super antara Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berlangsung esok 16 Mac ini dan ia adalah perlawanan tumpuan kerana ia membabitkan dua pasukan gergasi di negara.

Biarpun perlawanan belum lagi berlangsung, namun pihak pengurusan Selangor sudah pun mengeluarkan kenyataan menuntut mutu pengadilan tinggi menjelang perlawanan tersebut esok.


Mereka enggan keputusan kontroversi yang berlaku pada perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan itu pada musim lalu kembali berulang.

Perlawanan esok bukan sahaja dijangka akan menjadi ‘panas’ dek perseteruan sejak beberapa musim kebelakangan ini, tetapi juga perlawanan esok akan menentukan kedudukan terkini carta Liga Super.

JDT kini berada di puncak dengan 12 mata selepas empat perlawanan, manakala Selangor pula mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan, oleh itu kedudukan puncak liga berkemungkinan besar akan bertukar.

Jika pasukan Gergasi Merah menang, mereka akan merampas kedudukan teratas liga manakala pasukan Harimau Selatan akan jatuh ke tangga kedua.

Pada perlawanan terdahulu, JDT gagal membawa pulang tiga mata penuh apabila mereka terikat 1-1 dalam perlawanan yang cukup dramatik.

Walaupun ketika itu Selangor berada dalam keadaan terumbang-ambing berikutan masalah dalaman, namun sentuhan pengendali baru mereka Tan Cheng Hoe ketika itu berjaya menggagalkan usaha JDT untuk menang.

Antara keputusan kontroversi oleh pengadil pada perlawanan tersebut adalah apabila pasukan JDT dihadiahkan sepakan penalti apabila didakwa dikasari oleh pemain Selangor walaupun ramai yang mendakwa sebaliknya.

Susulan itu, ramai penyokong termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan Selangor menunggu di luar stadium untuk menunggu pengadil bertugas keluar sebelum mereka melontarkan kata-kata kesat.

Oleh itu, diharap insiden sama tidak akan berulang esok kerana penyokong mahukan satu perlawanan yang berkualiti dan apa yang penting adalah mutu pengadilan yang cukup tinggi.