Sebelum fikir nak bina stadium sendiri, lebih baik bina fasiliti kelab dahulu
Kelab bola sepak dan stadium memang tidak boleh dipisahkan dan sejak kebelakangan ini ramai penyokong yang mula menuntut kelab kesayangan mereka untuk mempunyai stadium milik mereka sendiri.
Ini kerana ketika ini majoriti kelab yang bersaing di Liga Super menyewa stadium dari pihak kerajaan negeri dan telah menyebabkan pelbagai isu timbul termasuk kualiti padang yang tidak elok.
Dengan liga domestik ke arah profesional, perancangan untuk mempunyai stadium sendiri semakin dapat dilihat, namun ia belum dapat dilaksanakan dek kekangan kewangan.
Bagaimanapun, pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA) iaitu Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar memberi bayangan seperti mereka mungkin akan mempunyai stadium sendiri pada masa hadapan.
Ia susulan Mohd Daud telah memuat naik video berkongsi pengalamannya melawat Stadium Lusail yang menjadi venue untuk perlawanan akhir FIFA Piala Dunia 2022.
Beliau yang teruja melihat kehebatan reka bentuk stadium itu berkata beliau berasa cukup bersemangat dan terinspirasi untuk membina stadium untuk Sang Kenari, namun berkata mereka tidak akan terburu-buru sebaliknya akan bermula dari dari perkara kecil terlebih dahulu.
Apa yang diperkatakan oleh beliau sangat tepat iaitu tidak terburu-buru kerana anda perlu ‘belajar berjalan terlebih dahulu sebelum boleh lari’.
Langkah pertama yang boleh dilakukan oleh kelab-kelab adalah untuk memberi tumpuan untuk mempunyai fasiliti pusat latihan mereka terlebih dahulu kerana ia sangat penting untuk pembangunan bola sepak mereka sendiri.
Dengan adanya pusat latihan sendiri, maka pemain tidak lagi perlu berdepan masalah untuk turun berlatih di tempat yang kerap bertukar selain keadaan padang latihan yang tidak baik dan boleh menyebabkan kecederaan berlaku.
Pusat fasiliti yang perlu dibina harus mempunyai pelbagai kemudahan untuk pemain dan juga pasukan seperti gimnasium, tempat makan, tempat fisioterapi, tempat main dan bermacam lagi termasuklah padang latihan berkualiti.
Ia umpama ‘pejabat’ buat pemain-pemain ini dan mereka tidak lagi perlu tertanya-tanya di mana latihan akan diadakan setiap hari.
Selepas kelab mempunyai fasiliti latihan yang baik, mungkin mereka sudah boleh rancang pula untuk membina stadium sendiri.
Ketika ini hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja yang mempunyai stadium mereka sendiri iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang merupakan salah satu stadium terbaik di rantau Asia.
Kos pembinaan stadium berkelas dunia itu menelan belanja RM200 juta dengan mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan dan dirasmikan pada Februari 2022.
SSI bukan sahaja menjadi home untuk pasukan Harimau Selatan, malah mereka juga bermurah hati untuk meminjamkan stadium untuk pasukan kebangsaan Malaysia untuk menggunakan stadium dan fasiliti mereka untuk dua perlawanan antarabangsa yang berlangsung pada 23 dan 28 Mac ini.
Jadi, diharap setiap kelab dapat membuat perancangan rapi untuk mempunyai fasiliti mereka sendiri sebelum bina stadium sendiri.