Khuzaimi Piee tiada masalah untuk sesuaikan diri dengan taktikal Tan Cheng Hoe

263

Pemain pertahanan Selangor FC, Khuzaimi Piee menjelaskan bahawa beliau tidak berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan taktikal ketua jurulatih Tan Cheng Hoe.

Khuzaimi atau lebih mesra dengan panggilan Jimmy berkata demikian selepas ada segelintir pihak yang mendakwa beliau seperti belum menyesuaikan diri dengan pasukan dan bergelut untuk bermain dengan taktikal empat pertahanan.


“Bagi saya, saya pernah bermain dengan empat pertahanan sebelum ini termasuk ketika bermain untuk pasukan kebangsaan sebelum ini. Saya rasa perkara itu bukan masalah buat diri saya.

Saya akan cuba perbetulkan segala kesilapan dan apa yang saya boleh katakana adalah saya perlu fokus untuk perlawanan akan datang. Saingan liga masih panjang dan apa sahaja boleh berlaku,”

katanya.

Pada perlawanan Liga Super malam tadi, Selangor telah tewas kepada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.

Dalam pada itu, Jimmy juga meluahkan rasa terkejutnya apabila Namanya tersenarai dalam 27 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya untuk persiapan mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa.

Skuad negara akan menentang Turkmenistan pada 23 Mac ini dan bertemu Hong Kong pada 28 Mac ini.

“Saya tak sangka Kim Pan-gon masih lagi beri kepercayaan kepada saya dan saya akan cuba bagi sehabis mungkin untuk kali ini kerana saya baru pulih dari kecederaan. Apa pun untuk panggilan kali ini saya akan buat sehabis baik untuk negara dan nama baik Selangor.”