PSM akan terus benar penganjuran konsert dan acara lain di SNBJ tapi akan pastikan kualiti padang terjaga

1,361

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) iaitu Mohd Faidz Sanusi memberitahu bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan terus membenarkan penganjuran konsert atau acara-acara lain di stadium tersebut selepas kerja-kerja penukaran rumput baru selesai.

Menurut Faidz, walaupun SNBJ akan membuat penggantian rumput jenis Zeon Zoysia, ia tidak bermakna tiada sebarang acara boleh dilakukan kerana semua kena tahu bahawa SNBJ adalah sebuah stadium untuk pelbagai guna.


“Ya perlu diingatkan bahawa SNBJ ini adalah stadium pelbagai guna. Kita ada acara-acara konsert, olahraga dan terbuka kepada orang awam juga.

Tapi untuk masa depan apa-apa kami lakukan, kami akan berhubung dan berbincang dengan pihak kontraktor itu sendiri apakah SOP (Prosedur Operasi Standard) yang perlu dilakukan,”

katanya.

Faidz berkata demikian selepas majlis perasmian projek penggantian rumput di SNBJ yang mana ia disempurnakan oleh Meteri Kementerian Belia Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh dengan disaksikan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Beliau juga memberi menjelaskan bahawa kualiti padang tidak akan terjejas sekiranya ada aktiviti lain yang dilakukan di SNBJ kerana mereka kini sudah mempunyai nurseri yang mana pihak mereka akan mudah untuk menggantikan rumput yang rosak dengan rumput yang baru.

“Benar kualiti akan terjaga kerana kita mempunyai nurseri. Dengan ada nurseri ini di mana kawasan yang rosak kita akan keluarkan petak yang rosak dan ganti dengan yang baru.”

Projek penggantian rumput SNBJ ini akan menelan belanja sekitar RM6.4 juta yang mana dana tersebut adalah daripada peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) termasuk tajaan daripada TMJ.

“Jumlah kos projek ini adalah RM6.4 juta kerana ia melibatkan kerja-kerja penukaran rumput, kerja penyelenggaran dan pembelian mesin dan peralatan.”

Dalam pada itu, Faidz berkata kerja-kerja untuk menaik taraf padang akan bermula pada 2 April nanti dan akan mengambil masa selama enam bulan untuk siap sepenuhnya sekiranya semua berjalan dengan lancar.

Sementara itu, beliau juga berkata padang baru itu akan dirasmikan oleh pasukan kebangsaan Harimau Malaya yang akan bermain dalam kejohanan Pestabola Merdeka pada bulan Oktober depan.

Sebelum ini SNBJ telah melalui proses penukaran rumput sebanyak empat kali sejak 1998 iaitu pada tahun 1998 hingga 2005 mereka menggunakan rumput jenis Bermuda Greenless Park.

Pada tahun 2005 hingga 2013 pula SNBJ menggunakan rumput jenis Marimo Seashore Paspalum + Zoysia Material; tahun 2013 hingga 2015 pula menggunakan rumput Bermuda Mountain Green + Princess dan kali terahir pada 2015 hingga kini pula menggunakan rumput jenis Axonopus Compressus.

SNBJ akan menjadi stadium kedua di Malaysia yang akan menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia kerana kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan yang pertama menggunakan rumput tersebut di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Kos penyelenggaran untuk rumput Zeon Zoysia akan menelan belanja bawah RM300,000 setahun.