Semua pemain dalam skuad kebangsaan bagus, tapi di Finland lebih teknikal di sini lebih ‘straightforward’ – Nooa Laine

6,794

Pemain tengah kebangsaan, Nooa Laine bangga dipanggil buat pertama kali ke kem latihan kebangsaan dan tidak sabar untuk membuktikan kemampuannya.

Menurutnya, semua pemain yang berada di skuad kebangsaan adalah amat bagus dan beliau berharap dapat bersaing untuk menjadi pemain yang penting buat pasukan.


“Dalam pasukan ini semua pemain bagus dan hebat, gaya permainan agak berbeza dengan di Finland yang lebih teknikal manakala di sini pula gaya permainan lebih straightforward.

Saya mahu jadi pemain yang penting untuk pasukan ini, mungkin bukan sekarang kerana saya baru berlatih sehari bersama mereka tetapi pada masa depan,”

katanya.

Beliau yang bermain dengan kelab Finland, SJK Seinajoki itu berkata antara kekuatannya adalah dari segi kekuatan fizikal di mana beliau boleh memenangi bola daripada pihak lawan.

Pemain berusia 20 tahun itu bertekad mahu memberikan yang terbaik apabila menyarung jersi Harimau Malaya untuk memenuhi jangkaan yang diletakkan ke atasnya.

“Gembira apabila orang mahu lihat saya di sini dan saya amat menghargai sokongan yang diberikan oleh peminat.

Jika saya diberi peluang sudah tentu saya mahu lakukan yang terbaik untuk penuhi segala jangkaan mereka.”

Beliau berkata, suasana di kem latihan begitu bagus dengan pemain lain membantu dirinya menyesuaikan diri dengan baik.