Harap TMJ dapat tubuhkan pasukan wanita JDT untuk naikkan tahap bola sepak wanita – Steffi Sarge Kaur

914

Pemain bola sepak wanita kebangsaan, Steffi Sarge Kaur berharap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dapat membentuk pasukan bola sepak wanita Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menubuhkan pasukan futsal pada tahun ini.

Beliau berkata, JDT merupakan sebuah pasukan yang amat profesional dan kehadiran mereka dalam bola sepak wanita dapat membantu menaikkan lagi tahap bola sepak wanita di negara ini.


“Kita tahu JDT satu pasukan yang sangat profesional dan luar biasa, mungkin TMJ boleh tubuhkan pasukan bola sepak wanita pula dan mungkin kita akan meningkat selangkah demi selangkah.

Tahun ini kita lihat mereka sudah ada pasukan futsal, akan datang mungkin pasukan wanita pula harapnya,”

katanya.

Dalam pada itu, beliau melihat usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam meningkatkan tahap bola sepak wanita sejak kebelakangan ini amat baik dan berharap ia akan diteruskan.

Katanya, peminat juga harus memberi sokongan kepada bola sepak wanita dan tidak hanya tahu mengkritik sahaja.

“Saya harap usaha dalam meningkatkan lagi tahap bola sepak wanita dapat dikekalkan terus selepas ini.

Kepada peminat pula jangan hanya kritik pasukan wanita kerana walaupun tidak sehebat pasukan lelaki tetapi kami ada di sini, teruskan beri sokongan.”

Mengenai pasukan kebangsaan, beliau berkata ketua jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zou’bi membawa taktikal yang lebih maju ke dalam pasukan.

Beliau berharap akan terus dipilih untuk pasukan kebangsaan bagi panggilan akan datang, dan berkata jika tidak terpilih pun beliau akan tetap memberikan sokongan kepada pasukan.