Kami memang dah bersedia untuk penentuan sepakan penalti – Mohd Fairuz Mohd Noor

244

Ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita MBSJ, Mohd Fairuz Mohd Noor mengakui beliau memang sudah bersedia untuk menghadapi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir FAS Women’s Super League menentang UPNM sebentar tadi.

Katanya, mereka telah berlatih untuk penentuan sepakan penalti tetapi perancangan utama adalah untuk menamatkan perlawanan pada masa sebenar.


“Penentuan penalti adalah pelan kedua kami kerana kita ada penjaga gol yang bersaiz besar tetapi pelan pertama adalah memenangi perlawanan dalam masa sebenar.

Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang memberikan komitmen mereka sehingga kita muncul juara,”

katanya.

MBSJ memenangi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 selepas 70 minit perlawanan.

Beliau mengakui gol awal pasukan lawan mengejutkan pemainnya tetapi memuji usaha mereka untuk bangkit.

“Saya memang dah pesan kepada mereka untuk berhati-hati pada lima minit awal dan akhir tetapi berlaku juga gol awal.

Tetapi pemain menunjukkan semangat yang tinggi dan kita berjaya juga dapatkan gol penyamaan.”

Beliau berkata segala usaha mereka membuahkan hasil walaupun sukar untuk mereka berkumpul kerana pemain-pemain mempunyai komitmen kerja masing-masing.