Fasiliti latihan JDT memang ‘another level’, sebab itu boleh juara tiap tahun, harap pasukan lain contohi – Paulo Josue

3,814

Pemain kebangsaan, Paulo Josue mengagumi fasiliti latihan yang dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas berpeluang menjalani latihan di situ bersama skuad Harimau Malaya.

Menurutnya, beliau tidak pernah berlatih di fasiliti sebegitu menganggap ia sebagai antara sebab pasukan itu mendominasi bola sepak di negara ini.


“Fasiliti di sini memang di satu tahap yang berbeza, tiada kelab lain yang ada fasiliti sebegini di Malaysia, ia bagus untuk seorang pemain.

Mereka ada padang latihan, gimnasium dan pusat fisioterapi yang mantap, sebab itulah JDT menang setiap tahun kerana mereka ada semua benda terbaik termasuklah fasiliti, gaji, bonus dan suasana,”

katanya.

Beliau berharap, lebih banyak kelab di Malaysia ini akan mengikut jejak langkah JDT dalam mewujudkan fasiliti latihan yang baik untuk meningkatkan lagi tahap bola sepak di negara ini.

Mengenai statusnya sebagai warganegara Malaysia ketika ini, beliau berkata sedang cuba membiasakan diri sebagai rakyat Malaysia dengan mempelajari budaya negara ini.

Beliau juga berkata bahawa beliau kini sedang cuba untuk belajar lagu kebangsaan, Negaraku.

“Saya dengar lagu itu sepanjang enam tahun berada di sini, saya tahu sebahagian perkataan daripada lagu itu.

Tetapi sudah tentu saya perlu belajar dan saya sedang cuba untuk belajar, tetapi untuk menyanyi ketika perlawanan buat masa ini saya tidak yakin lagi.”

Sementara itu, beliau mengakui bangga dan gembira selepas melengkapkan proses naturalisasinya dan terpilih ke kem latihan kali ini.

Katanya, buat masa ini beliau masih menyesuaikan diri dengan taktikal yang dimahukan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

Beliau merasakan bahawa skuad kebangsaan dibarisi dengan ramai pemain berbakat dan berkualiti terutama di posisinya, dan bersedia bersaing untuk menambat hati Pan-gon.