Harap bulan Ramadhan yang mulia akan bawa tuah buat Harimau Malaya

165

Bulan Ramadhan semakin hampir dan pasukan kebangsaan Malaysia kini dalam persiapan bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada 23 dan 28 Mac ini apabila mereka akan menentang Turkmenistan dan Hong Kong.

Kedua-dua perlawanan tersebut akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor yang mana ia akan berlangsung ketika seluruh umat Islam di dunia menyambut bulan Ramadhan.


Bagaimanapun ia tidak bermakna pemain-pemain negara perlu bermain pada waktu berpuasa, sebaliknya sepak mula akan dilewatkan kepada pukul 10.00 malam bagi memberi peluang kepada pemain beragama Islam untuk berbuka puasa terlebih dahulu.

Perlawanan menentang Turkmenistan nanti, skuad Harimau Malaya dan pasukan lawan mempunyai persamaan yang sama apabila kedua-dua pasukan dibarisi oleh ramai pemain beragama Islam, cuma perlawanan menentang Hong Kong sahaja sedikit berbeza.

Walaupun bermain pada waktu malam, namun cabaran yang perlu dihadapi oleh pemain sudah semestinya latihan di siang hari yang perlu dilalui oleh mereka sepanjang tempoh 23 hingga 28 Mac ini bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik.

Bagaimanapun pengendali Kim Pan-gon pastinya sudah mempunyai perancangan untuk pemain-pemainnya yang mana mungkin mereka akan menukar waktu latihan kepada waktu malam berbanding waktu petang ketika hari biasa.

Rasanya pemain-pemain negara tidak akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan situasi bermain bola sepak pada bulan Ramadhan kerana majoriti pemain sudah biasa bermain di bulan Ramadhan sebelum ini kerana saingan Liga Super tidak berehat.

Antara faktor utama untuk mengekalkan tahap kecergasan walaupun di bulan Ramadhan adalah setiap pemain perlu menjaga pemakanan mereka kerana ia akan memberi impak besar pada prestasi mereka.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang cukup mulia, oleh itu diharap ia akan membawa rahmat buat skuad negara untuk memperoleh keputusan yang positif dalam kedua-dua perlawanan persahabatan.

Ini kerana skuad negara dalam misi penting untuk cuba mengutip mata FIFA ranking semaksimum yang mungkin sebelum undian Piala Asia 2023 bermula.

Apa pun diharap penyokong a.k.a Ekor Harimau Malaya dapat turun ke stadium bagi memberikan sokongan padu buat skuad negara nanti.