Malaysia tidak ketandusan penjaga gol berkualiti – Megat Amir

479

Jurulatih penjaga gol Negeri Sembilan FC, Megat Amir Faisal Ibrahim tidak melihat Malaysia tidak akan ketandusan bakat-bakat baru penjaga gol kerana beliau merasakan masih banyak bakat yang belum diketengahkan lagi.

Bagi yang kurang mengenali Megat Amir, beliau merupakan jurulatih penjaga gol yang berjaya melahirkan tiga penjaga gol kebangsaan ketika ini iaitu Syihan Hazmi (Johor Darul Ta’zim), Kalamullah Al Hafiz (Kedah Darul Aman FC) dan Sikh Izhan (Negeri Sembilan FC).


Ketiga-tiga nama ini telah dipanggil oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-Gon, untuk menyarung jersi kebangsaan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong pada 23 dan 28 Mac ini.

“Bagi saya pemain tempatan ni berbakat besar. Ramai penjaga gol di Malaysia berbakat besar cuma kita perlu develop mereka, beri peluang dan minit permainan, InsyAllah satu hari nanti dapat penjaga gol seperti Khairulazhan dahulu. Cuma kita nak atau tak nak je,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Megat Amir berkata, untuk menjadi seorang penjaga gol yang hebat, mereka perlu diberikan peluang dan minit bermain yang cukup untuk membina keyakinan mereka di atas padang.

Beliau sendiri banyak mendapat bantuan dari sahabat-sahabat jurulatih penjaga gol untuk membantu meningkatkan cara pengajaran dan latihan yang diberikan kepada penjaga gol di bawah didikannya.

“Saya ada saya punya pengajar jurulatih penjaga gol iaitu Coach Yong. Saya ada sahabat-sahabat coach penjaga gol yang hebat-hebat di masa lalu dan saya masih belajar.

Jadi, tip-tip itu saya ambil untuk saya terapkan dalam latihan saya.”

Selain itu, beliau juga memberikan pandangan tentang cara permainan yang meminta penjaga gol untuk turut serta dalam set pieces seperti sepakan penjuru dan sepakan percuma ketika pasukan tersebut ketinggalan.

Beliau mengatakan bahawa beliau akan mengikuti cara ketua jurulatih dan cara pasukan lawan bermain, bergantung pada situasi jika ingin bermain menggunakan taktikal ini.

“Bagi saya apa-apa dalam perlawanan, situasi dalam perlawanan saya ikut ketua jurulatih. Kalau taktikal ketua jurulatih tak benarkan saya pun tak sarankan untuk penjaga gol untuk naik untuk set pieces.”

Dalam pada itu, beliau turut memberi bayangan beberapa nama penjaga gol muda yang mempunyai potensi besar untuk bersinar termasuk Asraff Aliffuddin dari Kelantan United FC, Khatul Anuar dari Penang FC dan Firdaus Irman dari Negeri Sembilan FC.

Baginya, Malaysia tidak mengalami masalah dari segi penjaga gol, hanya perlu memberikan kepercayaan kepada mereka dan memberikan peluang untuk menunjukkan bakat sebenar mereka.

Beliau pada masa sama turut memberikan kata-kata semangat kepada sesiapa yang ingin menjadi penjaga gol yang hebat, iaitu perlu banyak berusaha dan bersiap sedia dengan jiwa yang kental.

Sementara itu, beliau juga melihat ketinggian bukan satu isu untuk penjaga gol di Liga Malaysia kerana apa yang penting adalah keupayaan penjaga gol untuk membaca permainan dengan tepat dan menjaga gawang dengan baik.

Akhir sekali, Megat Amir memberikan kata-kata semangat kepada sesiapa yang ingin menjadi penjaga gol yang hebat.

”Pandangan saya, penjaga gol ni adalah satu posisi yang istimewa bagi saya kerana mereka boleh gunakan keseluruhan anggota badan.

Jadi apa yang saya minta kalau nak jadi penjaga gol adalah kena berusaha, kena ada jiwa pejuang yang kental dan niat yang baik insyaAllah akan berjaya.”

Dengan dorongan dari bekas jurulatih seperti Megat Amir, bakat penjaga gol tempatan di Malaysia dapat diasah dan dihasilkan penjaga gol yang hebat untuk membantu pasukan kebangsaan.