Atlet para tak kejar imbuhan, kepuasan meraih pingat yang kami utamakan – Siti Noor Iasah
Bekas atlet para negara, Siti Noor Iasah menyifatkan keazaman yang ada pada atlet para begitu luar biasa untuk bersaing walaupun mempunyai kekurangan tertentu.
Katanya, kebanyakan atlet para tidak memikirkan imbuhan ketika bertanding, tetapi kepuasan mendapatkan pingat dalam acara yang disertai.
“Kami atlet para akan melakukan sedaya upaya walaupun tidak sempurna, tetapi bukan imbuhan yang kami kejar cuma kepuasan apabila berjaya meraih pingat.
Bila dapat pingat itu kita rasa amat puas kerana kekurangan yang ada pada kita tidak menghalang kita, walaupun bersaing dengan atlet biasa kami tetap bersungguh-sungguh untuk menang,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau pernah beberapa kali mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa contohnya meraih emas di Sukan Para ASEAN dan Sukan Para Asia, serta gangsa di Kejohanan Olahraga Dunia Para dalam acara 400 meter T20 (masalah pembelajaran).
Beliau berharap lebih banyak lagi kejohanan para peringkat negeri yang dapat dianjurkan untuk mengetengahkan atlet-atlet dalam kategori tersebut.
“Untuk negeri harus perbanyakkan lagi pendedahan contohnya program terbuka untuk sukan para selain sukan pendidikan khas di sekolah-sekolah.
Di peringkat sekolah, guru-guru boleh main peranan untuk ketengahkan pelajar yang berbakat, kerana dari sukan pendidikan khas pihak MSN (Majlis Sukan Negara) akan datang lihat.”
Siti juga berharap lebih banyak liputan yang akan diberikan kepada atlet para negara untuk meluaskan lagi pendedahan.
Beliau berpendapat bahawa sukan paralimpik di negara ini mampu pergi jauh tetapi ia bergantung kepada individu itu sendiri.
Jelasnya, tidak mudah untuk menjadi atlet kerana perlu melalui latihan yang berat dan keras.
Walaubagaimanapun, beliau berkata pengorbanan yang dilakukan berbaloi kerana atlet paralimpik juga kini sudah diberikan insentif khas.