Harap rakyat Johor dapat penuhkan SSI esok, beri kami atmosfera sama ketika lawan Turkmenistan tahun lalu – Kim Pan-gon

738

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon berharap penyokong di Johor dapat memenuhi Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada perlawanan persahabatan menentang Turkmeninstan esok.

Beliau berkata, sokongan yang diterima ketika menentang lawan sama pada Jun tahun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah amat mengagumkan dan mengharapkan atmosfera yang sama.


“Jun tahun lalu di Bukit Jalil kita dapat lihat seluruh Malaysia datang sokong kami, ia memberi semangat yang tinggi kepada para pemain.

Esok kita harap dapatkan sokongan dari rakyat Johor, kita harap semua dapat datang penuhkan stadium dan beri sokongan kepada kita untuk dapatkan atmosfera yang baik, kami akan tunjukkan permainan yang baik,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan esok.

Katanya, perlawanan esok adalah penting kerana merupakan persiapan bagi kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia tahun depan.

Pan-gon menjangkakan perlawanan esok akan sengit kerana Turkmenistan pastinya mahu membalas dendam apabila tewas Jun tahun lalu.

“Kita ada objektif yang jelas untuk menyediakan skuad terbaik bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia dan pusingan akhir Piala Asia.

Untuk perlawanan esok, Turkmenistan mengajak kami untuk lakukan perlawanan persahabatan dan kami terima pelawaan mereka. Saya rasa mereka mahu membalas dendam kepada kekalahan sebelum ini.”

Sementara itu, beliau percaya bermain di bulan Ramadan tidak akan mengganggu prestasi pemainnya kerana staf kejurulatihan telah bersedia dari segi latihan, pemakanan dan sebagainya.

Katanya, pemain juga harus menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi, serta bersedia dari segi mental dan fizikal.