‘By hook or by crook’ KL City FC perlu pergi ke Piala AFC musim depan – Stanley Bernard

206

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC, Stanley Bernard meletak sasaran wajib ke pentas Piala AFC pada musim hadapan walaupun mereka memulakan kempen saingan Liga Super sedikit perlahan musim ini.

Stanley berkata, KL City telah membuktikan bahawa mereka mampu bersaing di pentas Asia, oleh itu tiada alasan untuk mereka tidak mampu melakukannya lagi.


By hook or by crook, tidak kira kami perlu layak menerusi piala atau posisi di Liga Super saya rasa kita patut pergi ke Piala AFC. Satunya ia bukan mengenai sasaran tapi kita pernah ke Piala AFC dan tahu yang kita mampu bersaing, jadi kenapa perlu bazirkan peluang.

Dengan pasukan sedia ada ketika ini saya memang percaya kami mampu pergi ke Asia musim depan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau pada masa sama turut percaya bahawa ketua jurulatih Bojan Hodak untuk bersependapat dengannya mengenai kemampuan pasukan untuk layak ke Piala AFC.

Pada musim lalu, KL City telah mencipta sejarah mereka tersendiri apabila berjaya menjadi naib juara Piala AFC 2022 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam pada itu, Stanley juga menyangkal sebarang khabar angin yang mengatakan Hodak antara beberapa ketua jurulatih yang dikhabarkan bakal direhatkan selepas pasukan yang dikendalikan oleh mereka gagal mendapat keputusan positif selepas beberapa perlawanan liga.

“Tak! Kita faham sekarang ini jangkaan penyokong terhadap pasukan (KL City) semakin tinggi tapi kita perlu lihat balik beliau (Bojan) merupakan ketua jurulatih yang sama membawa kita ke pentas akhir Piala AFC.

Bojan akan kekal kerana saya percaya beliau adalah individu yang akan bawa kita capai sasaran.”

Sementara itu, beliau mengakui pasukannya sering memulakan saingan liga sedikit perlahan namun beliau masih berpuas hati dengan prestasi selepas empat perlawanan yang mana walaupun mereka masih belum memperoleh kemenangan, namun mereka berjaya seri tiga perlawanan dan hanya kalah satu perlawanan ketika menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Kalau kita lihat tiga perlawanan seri itu jika ada pemenang, KL City sepatutnya menang sebab itu kita kecewa, tapi pasukan lawan gembira apabila dapat keputusan seri. Saya pun tak mengapa kita selalu bermula dengan perlahan, mungkin musim depan saya perlu ubah konsep pra-musim.”

Selepas empat perlawanan, KL City kini berada di kedudukan ke-11 Liga Super.