Boon Zi Cheng dan Danial Fraunholzr bakal menyusul ke skuad Harimau Malaya?

358

Ramai bakat muda Malaysia yang mencuba nasib di luar negara, sama ada berdarah kacukan ataupun yang lahir di Malaysia dan berhijrah ke luar negara.

Boon Zi Cheng mungkin tidak dikenali dalam dunia bola sepak Malaysia, tetapi beliau telah membuktikan kebolehannya di Australia.


Beliau sebelum pernah bermain untuk SA United FC dalam Liga Perdana FA Selangor sebelum memutuskan untuk berpindah ke Australia.

Boon Zi Cheng memulakan kerjayanya di Australia dengan menyertai pasukan Toowong FC di Liga Perdana Bolasepak Queensland.

Beliau beraksi dalam dua perlawanan untuk pasukan tersebut sebelum dipanggil untuk menyertai pasukan North Brisbane FC.

Pasukan itu bermain dalam divisyen tiga Liga Perdana Queensland 3 Metro pada musim 2023.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain kacukan Jerman-Malaysia, Danial Fraunholz kini turut mendapat perhatian ramai.

Beliau bermula dengan bermain bola sepak di akademi JFG Wendelstein di Jerman pada usia 15 tahun.

Dilahir dan dibesarkan di Jerman, ibu Danial berasal dari Selangor dan beliau mempunyai ketinggian 1.9 meter serta mempunyai fizikal yang cukup baik sebagai pemain pertahanan.

Beliau bermain bersama JFG Wendelstein pada usia 15 tahun sehingga berusia 19 tahun.

Danial tidak memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya bola sepak buat masa ini kerana beliau mahu fokus dalam pengajiannya di mana beliau sedang belajar dalam bidang kejuruteraan di salah sebuah universiti di sana.

Tidak dapat dinafikan ketika ini kebanyakan pasukan dari negara Asia Tenggara mula beralih dari pemain naturalisasi kepada pemain warisan kerana pemain warisan tidak perlu bermain di liga tempatan untuk tempoh lima tahun, sebaliknya boleh terus menyarung jersi kebangsaan sekiranya kedua-dua pihak bersetuju.

Kelebihan pemain warisan ini adalah mereka mempunyai fizikal yang lebih besar berbanding pemain-pemain tempatan, tambahan pula mereka bermain di liga yang lebih tinggi oleh sebab itu khidmat mereka ditagih.

Skuad Harimau Malaya juga dibarisi oleh beberapa pemain warisan antaranya Dion Cools, Corbin Ong, Darren Lok dan terbaru Nooa Laine.

Dua lagi pemain warisan negara yang menjadi prospek adalah Richard Chin dan Kobe Jae Chong yang beraksi di liga England.