Tambahan masa sampai 42 minit cetus kontroversi di Liga Bolivia

372

Dalam dunia bola sepak, masa tambahan menjadi topik yang semakin menjadi tumpuan pada masa kini, banyak perbincangan di kalangan penggemar bola sepak mengenai tempoh masa tambahan yang diberikan pada perlawanan.

Pada kebiasaannya, masa tambahan yang diberikan adalah antara tiga hingga lima minit.


Namun di Piala Dunia Qatar 2022, masa tambahan yang diberikan melonjak drastik hingga ke 10 minit dan ke atas.

Ini adalah kerana FIFA ingin memastikan setiap minit pertandingan dimainkan di atas padang dan tidak hilang disebabkan kelewatan atau tindakan membuang masa.

Contohnya, dalam perlawanan di antara Wales dan Amerika Syarikat yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1, pengadil telah memberikan masa tambahan selama 14 minit dan 34 saat, manaka untuk perlawanan di antara Belanda dan Senegal pula masa tambahan 12 minit dan 49 saat.

Tetapi apa yang berlaku di Bolivia pasti mengejutkan anda semua kerana dalam satu perlawanan dalam Liga Primeira Bolivia membabitkan perlawanan di antara Atletico Palmaflor menentang Blooming menyaksikan 42 minit masa tambahan diberikan oleh pengadil.

Keputusan pengadil, Julio Fernando Gutierrez yang membenarkan 42 minit masa tambahan itu terjadi telah mengundang kontroversi.

Beliau telah digantung tugas sebagai tindakan tegas untuk memastikan keadilan dan kebolehpercayaan dalam bola sepak.

Perlawanan Atletico Palmaflor dan Blooming yang berkesudahan dengan keputusan 3-2 itu akan menjadi perlawanan yang paling diingati sepanjang zaman.

Blooming mencuba yang terbaik untuk kembali dan menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 2-0 kepada Atletico Palmaflor.

Ketika perlawanan hampir pasti menjadi milik Atletico Palmaflor, Blooming menjaringkan gol kontroversi pada minit ke-85.

Pengadil dan lima pembantunya dikatakan mengambil masa selama 17 minit untuk membuat keputusan samada gol itu ofsaid atau tidak, namun akhirnya membenarkan gol tersebut.

Ketika ramai yang menjangkakan pengadil akan memberikan 20 minit masa tambahan meleset apabila tambahan masa yang diberikan adalah 30 minit.

Ketika minit ke-24 masa tambahan, Blooming menyamakan kedudukan, namun Atletico Palmaflor akhirnya memperoleh gol kemenangan pada minit ke-38 dan pada minit ke-42 baru perlawanan itu ditamatkan.

Diharap insiden seperti ini tidak akan berlaku lagi di mana-mana perlawanan bola sepak tidak kira di mana kerana ia akan menjejaskan kredibiliti sukan bola sepak sendiri.