Travis Teoh mencari penaja untuk ke F1

277

Pelumba muda negara, Travis Teoh yang baru berusia 12 tahun telah memperlihatkan potensi yang cukup besar dalam dunia permotoran go-kart dan memasang impian untuk menjadi pelumba Formula 1 (F1) satu hari nanti.

Travis yang memulakan karier sebagai pelumba go-kart sejak berusia 10 tahun kini beraksi dalam OK-Junior Karting yang mana kelas perlumbaan tertinggi untuk pelumba berusia 11 hingga 15 tahun.


“Semasa berumur 9 tahun saya berlumba di Itali empat perlumbaan, lepas itu saya pulang ke Malaysia di sebabkan kecederaan, kemudian pandemik COVID-19 pula melanda selepas itu menyebabkan saya tidak boleh menyertai perlumbaan.

Bagaimanapun kini saya sudah berada di OKJ dan akan kembali berlumba di sekitar Eropah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bercerita lanjut mengenai ‘cinta pandang pertamanya’ terhadap sukan permotoran adalah ketika berusia enam tahun ketika bapanya membawanya mencuba memandu go-kart.

Sejak itu, beliau telah menunjukkan bakat yang luar biasa dalam perlumbaan dan berjaya menang beberapa kejuaraan di peringkat Asia.

“Cabaran yang saya hadapi adalah sewaktu ingin membuat satu keputusan dalam perlumbaan ini sendiri, tekanan dalam perlumbaan, latihan fizikal dan yang paling mencabar adalah untuk mempersiapkan mental.”

Baru-baru ini, pelumba cilik negara ini telah bertemu dengan Menteri Belia Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh yang mana pertemuan itu bertujuan untuk mendapatkan sokongan dari pihak korporat dari segi bantuan dana untuknya terus kariernya sebagai pelumba.

Dalam pertemuan itu, Travis turut memberitahu bahawa Hannah telah memberikan jaminan yang pihaknya akan terus mempromosikan bakat Malaysia ke peringkat tertinggi menerusi pelbagai kerjasama strategik.

“Jika anda membaca artikel perjumpaan saya dengan YB Hannah Yeoh, pasti anda tahu kami memerlukan syarikat korporat untuk menjalinkan partnership dan mendapatkan sponsorship untuk perjalanan karier saya sehingga ke tahap lebih tinggi.”

Travis bagaimanapun berkata buat masa ini masih belum ada mana-mana syarikat korporat yang berminat untuk menjadi rakan kongsi atau penajanya.

Travis juga baru-baru ini terpilih untuk menyertai Fernando Alonso Development Program, di mana dia berpeluang untuk berlatih dengan beberapa pelumba terbaik di dunia.

“Saya, YB Hannah dan Fernando Alanso telah meeting di Zoom beberapa minggu yang lepas. Buat masa sekarang saya tidak boleh mendedahkan apa-apa maklumat. Jika ada informasi yang baru saya akan memberitahu pihak media.”

Sementara itu, Travis telah meletakkan sasaran buat dirinya untuk menjadi pelumba F1 apabila usianya mencecah 20-an.

Untuk mencapai matlamat tersebut, beliau perlu menempuh beberapa peringkat perlumbaan seperti Formula 4, Formula 3 dan seterusnya sebelum dapat mendapatkan tempat untuk bertanding di F1.

Semoga Travis dapat mencapai matlamatnya sebagai pelumba F1 dan menjadi kebanggaan negara Malaysia