Harimau Muda perlu bekerja lebih keras jika mahu cabar skuad Thailand B-23

464

Pasukan bola sepak Thailand terus memperlihatkan peningkatan yang cukup positif terutamanya pasukan B-23 mereka.

Tidak keterlaluan jika hendak mengatakan bahawa skuad Gajah Perang B-23 kini merupakan antara pasukan yang cukup mantap dan sukar untuk dicabar.


Mereka telah membuktikan pasukan dari Asia Tenggara juga mempunyai kualiti dan tidak gentar untuk menentang mana-mana pasukan besar termasuk gergasi dari Asia Barat.

Skuad Thailand B-23 telah berjaya membuktikan perkara itu apabila mereka mengikat gergasi Asia, Arab Saudi 2-2 dalam kejohanan The Internantional Doha Cup B-23 di Qatar.

Kejohanan itu disertai banyak pasukan gergasi termasuk Qatar, UAE, Iraq, Korea Selatan, Vietnam, Kyrgyzstan, Oman dan Kuwait.

Berdasarkan prestasi semasa skuad Thailand, mereka akan menjadi penghalang besar buat pasukan Malaysia untuk menamatkan kemarau pingat emas pada Sukan SEA Kemboja yang akan berlangsung pada Mei ini.

Skuad Malaysia B-22 juga bakal mengharungi dua perlawanan persahabatan dalam kejohanan Piala Merlion yang disertai oleh Kemboja B-22, Singapura B-22 dan Hong Kong B-22.

Melihat persiapan antara kedua-dua pasukan, Thailand dilihat membuat persiapan lebih rapi apabila mengatur perlawanan-perlawanan dengan pasukan yang lebih besar dan kompetitif dan ini akan memberi mereka kelebihan pada Sukan SEA nanti.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ketua jurulatih skuad B-23, E. Elavarasan perlu membuat perancangan untuk mengatur beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan yang lebih besar sebelum pasukan berangkat ke Kemboja nanti.

Selepas 12 tahun tanpa pingat emas dalam acara bola sepak di Sukan SEA, sudah pastinya ramai yang meletak harapan cukup tinggi untuk skuad kali ini.

Apa pun pencapaian anak buah Elavarasan di Piala Merlion akan menjadi kayu pengukur samada skuad ini mampu jadi pencabar utama di Sukan SEA nanti atau tidak.