Dollah Salleh calon ‘favourite’ FAM?

375

Dollah Salleh hanya pengurus pasukan Sri Pahang FC, peluang cerah untuk menggantikan Tan Cheng Hoe

Semalam, Sri Pahang FC melalui akaun sosial media rasmi mereka mengumumkan pelantikan Christophe Gamel sebagai ketua jurulatih Sri Pahang FC menjawab persoalan tentang kedudukan Dollah Salleh yang diberi peranan baru sebagai pengurus pasukan Sri Pahang FC sekaligus menjawab teka-teki tentang siapakah pengganti beliau dalam mengendalikan skuad Tok Gajah.


Pelantikan Dollah Salleh tersebut turut membuka potensi untuk beliau dipilih sebagai pengendali sementara Harimau Malaya, selepas ‘kerusi panas’ itu ditinggalkan Tan Cheng Hoe semalam. Dollah dilihat sebagai calon ‘favorite’ yang bakal diintai FAM melihat pada pengalaman beliau yang pernah melakar kejayaan bersama Harimau Malaya sebagai naib juara Piala AFF Suzuki Cup 2014.

Mengimbau kembali tentang perjalanan skuad negara dalam kejohanan Piala AFF Suzuki Cup 2014 itu, skuad kendalian Dollah Salleh yang bermula dengan agak terumbang-ambing dan menimbulkan persoalan banyak pihak tentang keraguan mereka terhadap kebolehan yang dimiliki Dollah Salleh. Beliau akhirnya tampil membuktikan ‘magis’ dan sentuhan berbisa yang akhirnya membawa pasukan kebangsaan layak ke pentas final walaupun hanya sekadar menjadi naib juara tetapi itu adalah pencapaian yang cukup membanggakan.

Tambahan pula, kedudukan beliau suatu ketika dahulu sebagai pemain kebangsaan berprofil tinggi memberi kelebihan untuk beliau mengendalikan Harimau Malaya sekali lagi sama ada dalam jangka masa sementara waktu atau lebih lama, terpulang kepada FAM untuk menentukannya. Pengalaman Dollah yang luas dalam mengendalikan beberapa pasukan tempatan seperti Selangor FC dan berjaya mendapatkan kejuaraan ‘treble’ untuk pasukan tersebut. Bersama Sri Pahang FC pula, Dollah pernah membawa pasukan itu menjulang kejuaraan Piala Malaysia selepas kemarau 21 tahun pada 2013. Ini semua pasti memberi kelebihan untuk dirinya dipertimbangkan sebagai pengganti Tan Cheng Hoe.

Tidak kurang hebatnya, bekas pemain dan jurulatih kelahiran Melaka ini juga pernah dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan pada tahun 2019. Dollah dijangkakan menjadi antara calon yang bakal dipilih FAM melihat rekod peribadinya yang agak baik bersama FAM. Malah, ada yang berpendapat Dollah adalah calon yang memenuhi ‘kriteria’ yang diinginkan badan pengurusan FAM tersebut.

Walau bagaimanapun, peminat dan pengamal media sukan tempatan hanya mampu berteka-teki selagi FAM sendiri belum mengumumkan siapa yang bakal mengisi jawatan pengendali Harimau Malaya yang baru bagi menghadapi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Kelayakan Piala Asia 2023. Diharapkan sesiapa sahaja yang diberi peranan tersebut dapat memberi perubahan yang baik sekaligus mampu mengubah landskap bola sepak negara.