Ada pemain yang tak dapat ‘catch up’ malam ini, kita perlu tingkatkan tahap permainan – Kim Pan-gon

1,275

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon mengakui terdapat pemain yang tidak dapat mengikuti apa yang beliau mahukan dalam permainan ketika menentang Turkmenistan sebentar tadi.

Katanya, adalah penting untuk mereka meningkatkan tahap permainan sekiranya mahu bersaing dengan negara-negara besar pada kejohanan Piala Asia Januari tahun depan.


“Permainan yang saya terapkan menuntut ketahanan fizikal dan mental, serta disiplin yang tinggi daripada pemain, kita lihat malam ini ada pemain yang tidak dapat ikut, jadi kita perlu tingkatkan lagi prestasi kita.

Pemain harus tingkatkan lagi tahap kecergasan tetapi mungkin ini disebabkan baru permulaan musim jadi pemain tidak bermain banyak permainan lagi, saya jangka kita akan lebih baik pada Jun dan September nanti,”

katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Menurutnya, beliau tetap berbangga dengan anak-anak buahnya kerana berjaya menumpaskan lawan di ranking yang lebih tinggi.

Walaubagaimanapun, beliau menyifatkan perlawanan ini tidak boleh menjadi kayu pengukur kekuatan sebenar Harimau Malaya.

“Tiada apa yang saya mahu mengeluh mengenai permainan mereka pada malam ini, Turkmenistan juga bermain agak baik terutama penjaga gol mereka yang menidakkan peluang kita untuk menjaringkan tiga atau empat gol.

Kita mahu beri peluang kepada pemain tunjukkan kebolehan mereka, ini adalah persediaan yang baik untuk Piala Asia akan datang.”

Beliau berkata bahawa penyokong harus memberi masa kepada pemain untuk menunjukkan peningkatan.

Katanya, beliau akan memberi peluang kepada beberapa pemain lain pada perlawanan menentang Hong Kong pada 28 Mac depan.