Bertuah dapat ‘call up’ kali ini, dapat peluang berlatih di fasiliti JDT, inilah yang pemain perlukan – Faisal Halim
Pemain sayap negara, Faisal Halim berasa beruntung mendapat panggilan ke kem kebangsaan pada kali ini kerana dapat menggunakan fasiliti terbaik yang ada di Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurutnya, fasiliti seperti yang ada di JDT adalah diperlukan oleh seorang pemain untuk bermain dengan lebih baik.
“Saya rasa agak bertuah dan berbangga juga dapat panggilan kali ini, dapat peluang berlatih di JDT dan guna fasiliti terbaik seperti yang mereka ada.
Sebagai pemain, ini yang kita perlukan untuk lebih lancar dalam sesi latihan dan perlawanan, kita dapat saksikan malam ini apabila berlatih di padang yang baik dan bermain di stadium yang baik, ia menjadi,”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan yang menyaksikan Harimau Malaya menang 1-0.
Sementara itu, beliau mengakui berasa tertekan kerana masih belum berjaya menjaringkan gol pada musim ini di peringkat kelab dan juga antarabangsa.
Beliau menganggap masih tiada rezeki untuknya menjaringkan gol buat masa ini dan percaya beliau perlukan satu gol untuk membina momentum.
“Dah tentu sebagai pemain saya agak tertekan fikir mahu jaringkan gol, tetapi saya tetap gembira kerana pasukan menang, mungkin masih tiada rezeki untuk saya jaringkan gol macam perlawanan tadi kita lihat saya ada beberapa peluang tetapi penjaga gol mereka begitu baik.
Mungkin saya perlu kerja keras, kena banyak berdoa, mungkin juga saya ada salah dengan sesiapa dan perlu meminta maaf untuk dapat jaringkan gol semula.”
Faisal berkata walaupun masih tidak berjaya menjaringkan gol, beliau tetap membantu barisan serangan untuk mendapatkan gol.
Sementara itu, beliau mengakui skuad kali ini di tahap yang terbaik kerana mempunyai ramai pemain yang berkualiti.
Beliau memberi contoh pemain-pemain dari JDT yang sudah biasa bermain di pentas tertinggi seperti AFC Champions League.