Saya tak puas hati dengan debut saya malam ini, masih ada perkara yang boleh diperbaiki – Nooa Laine

1,560

Pemain tengah negara, Nooa Laine mengakui beliau tidak berpuas hati sepenuhnya dengan persembahan debutnya bersama Harimau Malaya menentang Turkmenistan sebentar tadi.

Katanya, masih terdapat ruang untuknya memperbaiki corak permainannya contohnya dari segi hantaran bola dan memegang bola.


“Sudah tentu saya tidak berpuas hati sepenuhnya pada malam ini, saya ada beberapa peluang untuk jaringkan gol dan juga beberapa kali saya boleh menghantar bola dengan lebih baik.

Apa-apa pun saya bangga kerana jurulatih letakkan saya di atas padang, saya perlu gunakan peluang dan tunjukkan apa saya boleh buat,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan menentang Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi yang menyaksikan Malaysia menang 1-0.

Sementara itu, beliau percaya persefahaman dengan pemain lain akan lebih baik dengan lebih banyak sesi latihan bersama dan lebih banyak peluang bermain bersama.

“Ini adalah perlawanan pertama saya dengan pemain lain, saya sedang kenali gaya permainan mereka dan mereka juga sedang mengenali gaya permainan saya.

Saya yakin dengan lebih banyak masa permainan dan sesi latihan bersama, persefahaman akan lebih baik.”

Dalam pada itu, beliau gembira apabila terdapat peminat bola sepak negara yang menganggap beliau sebagai masa depan bola sepak Malaysia.

Beliau bagaimanapun tidak mahu menjadikan harapan peminat itu sebagai satu tekanan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi pemain yang baik.