Malaysia pasukan yang kuat, kami belajar banyak perkara dari perlawanan ini – Mergen Orazov
Ketua jurulatih Turkmenistan, Mergen Orazov mengakui perlawanan menentang Malaysia adalah satu pelajaran yang baik untuk anak-anak buahnya.
Katanya, Malaysia merupakan pasukan yang kuat dengan pemain serta taktikal yang baik untuk dipelajari.
“Malaysia adalah sebuah pasukan yang kuat, pemain mereka baik, kita juga dapat belajar dari segi taktikal melalui perlawanan ini, disebabkan itu kita pilih untuk menentang Malaysia.
Tiada apa yang perlu dirisaukan dengan kekalahan ini, saya percaya pasukan kami ada potensi yang baik dan perlu bekerja keras untuk mencapainya,”
katanya.
Beliau mengakui persediaan yang singkat sedikit sebanyak membuatkan pasukannya tidak dapat bermain dengan baik.
Katanya, pemain tidak begitu cergas memandangkan mereka tiba lewat di Malaysia dan liga di negara itu masih belum bermula.
“Dari segi fizikal para pemain tidak berada di tahap tertinggi kerana liga di Turkmenistan masih belum bermula.
Ini juga perlawanan pertama saya mengendalikan pasukan ini, saya lihat banyak perkara positif daripada perlawanan ini.”
Katanya, selepas ini mereka akan berkampung di Dubai untuk kem latihan dan menentang beberapa kelab di sana untuk ujian seterusnya.
Turkmenistan tewas di tangan Malaysia 1-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 sebentar tadi hasil jaringan Akhyar Rashid.