Uji pemain baru lebih penting, Hong Kong tak utamakan keputusan menentang Malaysia
Pasukan kebangsaan Hong Kong memulakan siri persahabatan antarabangsa mereka dengan sedikit perlahan apabila mereka hanya mampu seri 1-1 ketika menentang Singapura di tempat sendiri semalam.
Kegagalan untuk memperoleh kemenangan nyata membuatkan ketua jurulatih Jorn Andersen berasa sedikit kecewa kerana pasukannya mempunyai banyak peluang tetapi gagal untuk mendapatkan kemenangan.
Selepas Singapura, Hong Kong akan mengatur satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pada 28 Mac ini apabila mereka dijadualkan akan menentang Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.
Skuad Harimau Malaya turut turun beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa semalam yang menyaksikan mereka berjaya tewaskan Turkmenistan 1-0.
Dengan skuad Malaysia berada pada prestasi terbaik, Anderson sudah membuat perancangan rapi menjelang perlawanan tersebut.
Bagaimanapun perancangan Andersen bukan untuk mengutamakan keputusan perlawanan sebaliknya beliau mahu menguji seberapa banyak pemain untuk perlawanan akan datang kerana berkata sesetengah pemain yang dipanggil belum cergas sepenuhnya.
Ini kerana pemain-pemain yang bermain di China Super League sudah tidak bermain selama tiga bulan dan mereka hanya sempat bermain beberapa perlawanan persahabatan dalam latihan pra musim.
Selain itu, ada beberapa pemainnya turut dilanda masalah kecederaan, oleh itu Andersen akan melakukan rotasi pemain termasuk memperkenalkan pemain baru dalam skuad Hong Kong iaitu Poon Pui Hin dan Ngan Cheuk Pan.
Hong Kong juga dijangka akan menurunkan pemain naturalisasi mereka dari Cameroon iaitu Mahama Awal yang sudah pun membuat debutnya pada perlawanan menentang Singapura semalam.
Dalam pada itu, dengan situasi semasa kem Hong Kong, tiada alasan untuk skuad kendalian Kim Pan-gon untuk memperoleh kemenangan selesa pada perlawanan kedua nanti, tambahan bermain di tempat sendiri.
Malaysia kini dalam misi penting iaitu mahu mengutip mata semaksimum yang mungkin untuk menaikkan FIFA ranking, selain mempersiapkan pasukan yang akan menghadapi kejoahanan Piala Asia 2023 pada Januari tahun hadapan.