Mahu kualiti Liga Malaysia setaraf J-League atau K-League tak boleh harapkan satu atau dua kelab sahaja

601

Tidak dapat dinafikan bola sepak Malaysia kini semakin memperlihatkan perkembangan positif dan semakin ke arah yang lebih profesional.

Walaupun masih lagi belum 100% swasta sepenuhnya, namun penyokong sudah dapat melihat majoriti kelab-kelab bola sepak sudah ke arah itu.


Lihat sahaja saingan Liga Malaysia untuk musim 2023, baik kelab di Liga Super mahu pun di Liga M3, kesemua pasukan yang terlibat rancak membuat persiapan rapi sebelum saingan liga bermula.

Ia memperlihatkan satu petanda yang cukup positif buat bola sepak tanah air walaupun isu tunggakan gaji masih berlaku.

Baru-baru ini penyerang Perak FC, Hadi Fayyadh dalam satu temubual bersama saluran sukan popular tanah air berharap dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi saingan Liga Malaysia akan standing dengan J League dan K League.

Apa yang diperkatakan oleh Hadi bukan sesuatu yang ‘luar biasa’ atau sukar untuk dikecapi kerana ia adalah perkara yang normal dalam pengurusan kelab bola sepak di seluruh dunia.

Jika mempunyai pengurusan yang mempunyai visi dan misi, kelab tersebut pasti akan berjaya dan salah satu contoh terbaik adalah kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Mempunyai pemilik yang berjiwa bola sepak dengan pengurusan kelab dikendalikan oleh mereka-mereka yang pakar telah membawa kelab itu menjadi salah sebuah kelab gergasi di Asia Tenggara.

JDT bukan sahaja gah di Asia Tenggara, tetapi turut mendapat perhatian dari penyokong bola sepak di rantau Asia dan antarabangsa lain.

Tidak mudah untuk JDT membina empayar, namun sedikit demi sedikit mereka telah berjaya jauh maju ke depan berbanding pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia.

Impaknya, kini semakin ramai yang mula menyedari dan beberapa kelab kini dilihat sudah ke arah yang lebih profesional seperti Selangor FC.

Kelab lain seperti Kedah Darul Aman FC, Perak FC, Terengganu FC, Kelantan FC dan beberapa lagi juga sudah diswastakan, namun mereka masih belum mencapai tahap seperti mana JDT dan Selangor ketika ini.

Namun ia adalah perkembangan cukup positif buat bola sepak tanah air kerana kesedaran itu sudah ada.

Jika kelab bola sepak sahaja yang maju pun tak guna juga kerana pengelola Liga Malaysia juga perlu seiring dengan perkembangan bola sepak moden termasuk memperkenalkan teknologi seperti VAR (video assistant referee) bagi memastikan kualiti liga tidak terjejas dengan keputusan kontroversi oleh pengadil.

Bagaimanapun, sasaran untuk melihat Liga Malaysia setaraf dengan J League dan K League dalam tempoh tiga ke lima tahun tampak sedikit sukar, tapi ia tidak mustahil.

Ia tidak akan menjadi mustahil sekiranya semua kelab di Malaysia seperti JDT dan Selangor, kerana untuk menaikkan kualiti atau standard liga ia tidak boleh bergantung kepada satu atau dua kelab sahaja.

Jadi, diharap musim 2023 ini Liga Malaysia bebas dengan masalah tunggakan gaji dan kelab akan berkembang dengan lebih positif demi kebaikan liga tempatan.