Setahun Kim Pan-gon kendalikan Malaysia, semua pemain sudah tahu apa yang dimahukannya – Dominic Tan
Pertahanan Harimau Malaya, Dominic Tan menganggap beliau dan rakan-rakan sudah memahami gaya permainan yang dimahukan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon selepas setahun jurulatih itu mengendalikan skuad kebangsaan.
Katanya, Pan-gon mempunyai permintaan yang tinggi daripada para pemain, dan ia membuatkan semua pemain sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap permainan.
“Coach Pan-gon sudah berada di sini selama setahun, jadi semua pemain tahu apa yang beliau mahukan.
Sudah tentu sesiapa saja yang diberikan peluang untuk bermain akan memberi yang terbaik untuk menuruti permintaannya,”
katanya.
Beliau mengakui, Pan-gon telah berjaya mengubah skuad kebangsaan dan membawa bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih baik.
Sementara itu, beliau melihat persaingan di dalam skuad terutama di posisi pertahanan adalah baik untuk pemain meningkatkan tahap permainan.
“Sudah tentu saingan dalam skuad kebangsaan begitu sengit, bukan sahaja di posisi pertahanan tengah tetapi posisi lain juga kerana semua pemain adalah bagus.
Ia bukan benda yang mudah tetapi ia cabaran yang kami semua mahukan untuk meningkatkan lagi tahap permainan.”
Dominic berkata, perlawanan menentang Hong Kong adalah penting untuk beliau dan rakan-rakan meneruskan momentum persembahan yang baik ketika menentang Turkmenistan sebelum ini.
Beliau menjangkakan perlawanan yang sengit pada 28 Mac ini dan akan memberikan yang terbaik sekiranya dipilih.