Kejayaan julang Piala Merlion 2023 hanya permulaan kerana sasaran kita adalah Sukan SEA – Harith Haiqal
Pemain kebangsaan pasukan B-22 Malaysia, Harith Haiqal kejohanan Piala Merlion 2023 adalah sebagai aksi pemanas badan buat pasukan bagi mencari keserasian dan persefahaman antara pemain.
Skuad Harimau Muda telah mencipta sejarah semalam apabila berjaya muncul sebagai juara Piala Merlion buat pertama kali selepas menewaskan pasukan Hong Kong B-22 2-1 dalam perlawanan akhir.
“Saya rasa kejohanan Piala Merlion ini adalah perlawanan pemanas badan yang baik untuk kami cari keserasian dan persefahaman dan Alhamdulillah selepas dua perlawanan pasukan berada dalam keadaan bertambah baik.
Bagi saya Piala Merlion hanya permulaan kerana sasaran kita adalah Sukan SEA,”
katanya.
Harith juga berkata walaupun beliau kurang mendapat minit permainan bersama kelabnya di Selangor FC, namun beliau akan terus bekerja keras bagi memastikan namanya turut tersenarai dalam skuad ke Sukan SEA nanti.
Skuad kendalian E. Elavarasan berdepan tugas yang cukup sukar iaitu menyasarkan untuk menamatkan kemarau 12 tahun untuk cuba meraih pingat emas di temasya itu selepas kali terakhir Malaysia berjaya dapat pingat emas pada tahun 2011.
“Saya tidak berani nak berjanji tetapi apa yang saya boleh katakan adalah kami akan berikan yang terbaik nanti.”
Harith merupakan salah seorang pemain yang pernah bermain di temasya Sukan SEA Hanoi sebelum ini yang mana ketika itu skuad negara dikendalikan oleh Brad Maloney.
Dalam pada itu, Harith juga mengakui terdapat perbezaan yang cukup ketara apabila bermain di bawah kendalian Elavarasan.
“Taktikal dengan barisan kejurulatihan baru ini lebih agresif dan sangat berbeza. Pada perlawanan pertama menentang Kemboja memang sukar kerana itu adalah perlawanan pertama saya musim ini. Tapi bila menentang Hong Kong saya sudah dapat biasakan diri jadi syukur Alhamdulillah.”
Sementara itu, Harith turut berkongsi momen di mana beliau menenangkan penjaga gol Rahadiazli Rahalim selepas melakukan kesilapan yang menyebabkan pasukan Hong Kong berjaya menjaringkan gol.
“Saya akan cuba bantu semua pemain, lebih-lebih lagi Rahadiazli sebab dia sendiri tahu yang dia buat kesilapan, tiada sebab untuk saya marah kerana kita sedang mendahului lawan. Saya rasa kalau dia koyak, saya koyak maka bertambah koyak la pasukan, jadi sebab itu saya cuba bantu dia.”