Asheer Shafiq tinggalkan karier di Malaysia kerana timba pengalaman bermain di Eropah

550

Penjaga gol muda negara, Asheer Shafiq Abd Karim telah menjadi perhatian penyokong bola sepak tanah air selepas beliau diumumkan sebagai pemain baru di kelab yang beraksi di liga utama Montenegro iaitu OFK Petrovac.

Menurut Asheer, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan karier bola sepaknya di Malaysia kerana mahu menimba pengalaman bermain di Eropah.


“Saya tinggalkan karier bola sepak di Malaysia kerana nak bina karier di Eropah, timba pengalaman dan tingkatkan skil sebagai penjaga gol profesional dan peluang untuk bermain bersama OFK Petrovac adalah penting dalam permulaan sebagai penjaga gol.

Ia adalah peluang di mana mereka tawarkan kontrak kepada saya dan saya fikirkan jika saya mahu main di Eropah, ini adalah langkah pertama saya untuk merealisasikan impian itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya Asheer lagi, beliau juga sudah membuat sedikit ulang kaji mengenai liga bola sepak di negara itu, beliau mendapati Montenegro mempunyai gaya permainan yang unik dan berbeza sedikit dari gaya bola sepak di negara Eropah lain.

Berikutan itu, beliau melihat peluang untuk bermain di sana beliau dapat menambah ilmu bola sepak dan mempertingkatkan skilnya sebagai penjaga gol.

Asheer sebelum ini merupakan bekas pemain skuad belia PDRM FC sebelum berhijrah ke pasukan B-23 KL City FC atau dikenali sebagai KL City Extension.

Dalam pada itu, pemain berusia 19 tahun itu juga berharap berjaya dapat bina karier di Eropah dalam tempoh yang lama sekaligus dapat menarik kelab-kelab besar di sana.

“Jika mungkin saya mahu push karier saya sejauh yang mungkin di Eropah dan saya berharap dapat bermain di kelab lebih besar selepas ini. Saya juga harap dengan kehadiran saya bermain di OFK Petrovac dapat menarik perhatian pihak scouting.

Asheer pada masa turut meluahkan keyakinan mampu untuk bersaing dengan pemain-pemain di Montenegro kerana beliau mempunyai saiz fizikal yang hampir sama dengan pemain-pemain di sana, jadi ia bukan penghalang buatnya untuk berjaya di sana.

Sementara itu, beliau juga memberitahu bahawa cuaca di negara itu juga tidak menjadi masalah buatnya dan beliau juga sudah turun menjalani latihan bersama skuad utama pasukan itu.

“Kesemua mereka ramah dengan saya dan saya juga tidak berdepan kesukaran untuk berkomunikasi kerana mereka boleh bercakap dalam Bahasa Inggeris dan kini saya sedang cuba untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan dan permainan mereka yang cukup berintensiti tinggi.”