Penting untuk ada ejen sekiranya mahu jadi pemain bola sepak profesional – Asheer Shafiq
Pemain bola sepak negara, Asheer Shafiq mengakui penting buat seseorang pemain bola sepak untuk mempunyai ejen sekiranya mahu menjadi seorang pemain bola sepak profesional.
“Saya rasa penting untuk semua pemain yang mahu menjadi profesional untuk mempunyai ejen bola sepak kerana sebagai pemain bola sepak kita mungkin tidak tahu sangat dengan kerja sebagai ejen bola sepak.
Jadi saya rasa jika anda ejen bola sepak yang boleh bantu untuk melebarkan karier bola sepak dan cari kelab bagus, ia adalah sesuatu benda yang wajib,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Asheer adalah salah satu contoh terbaik seorang pemain bola sepak yang berjaya melebarkan sayap ke Eropah apabila beliau baru sahaja menandatangani kontrak bersama kelab OFK Petrovac di liga utama Montenegro iaitu Meridianbet 1. CFL.
Bagi yang tidak mengenali Asheer, beliau merupakan bekas pemain skuad belia PDRM FC dan juga bekas pemain B-23 KL City FC yang dikenali sebagai KL City Extension.
Dalam pada itu, pemain berusia 19 tahun yang bermain sebagai penjaga gol tidak melihat beliau akan menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri bersama kelab barunya kerana kesemua pemain di sana bertutur dalam Bahasa Inggeris.
Malah beliau juga tidak berdepan cabaran dari saiz fizikal kerana beliau mempunyai fizikal yang hampir sama dengan pemain-pemain di kelab tersebut.
Dalam pada itu, Asheer bagaimanapun berkata cabaran utamanya di sana ketika ini adalah beliau perlu mengubah sedikit amalan diet pemakanannya.
“Buat masa sekarang ini saya mengamalkan diet saya sendiri atas faktor saya seorang Muslim dan mahu pastikan makan makanan yang halal.
Di sini sukar untuk dapat daging halal, jadi saya perlu tukar kepada ikan dan produk sayur-sayuran.”
Sementara itu, Asheer berharap agar kariernya di Eropah akan melonjak naik dan dapat beraksi dengan salah sebuah kelab besar di sana satu hari nanti.
Beliau juga menyuarakan Hasrat untuk menjadi salah seorang penjaga gol terbaik supaya beliau dapat menyarung jersi Harimau Malaya.
“Saya juga berharap satu hari nanti dapat menggunakan pengalaman dan kemampuan saya untuk bantu pasukan kebangsaan satu hari nanti.”