Ong Kim Swee tak pernah hubungi Kim Pan-gon dalam soal urusan skuad Harimau Malaya
Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memberitahu beliau tidak pernah menghubungi ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon untuk masuk campur dalam urusan skuad negara.
Ini kerana Kim Swee meletak kepercayaan penuh kepada Pan-gon yang pastinya mempunyai perancangan tersebut untuk skuad Harimau Malaya.
“Saya tidak pernah melibatkan diri atau menghubungi Kim Pan-gon tentang apa yang saya inginkan kerana saya pernah jadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan dan saya tahu apa yang ketua jurulatih perlu lakukan.
Di sini saya harus letak satu pertalian profesional di mana saya tidak ingin menyentuh apa pasukan kebangsaan lakukan. Saya cuma mahu pastikan pemain-pemain saya berada dalam kecergasan terbaik sebelum mereka pulang bersama pasukan Sabah FC,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau turut memuji prestasi dua pemainnya iaitu Darren Lok dan Dominic Tan ketika aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan pada 23 Mac lalu yang menyaksikan skuad negara berjaya menang 1-0.
“Dengan beraksi di peringkat antarabangsa berbeza kerana mereka dapat pengalaman dan intensiti berbeza. Jadi apa yang saya lihat prestasi Darren dan Dominic ketika menentang Turkmenistan sangat baik dan ini penting untuk mereka kekalkan prestasi mereka jika mereka ingin dipilih lagi selepas ini terutamanya persiapan ke Piala Asia tahun hadapan.”
Namun disebalik prestasi cemerlang dua pemainnya itu, Kim Swee turut menyuarakan kebimbangannya terhadap tiga lagi pemainnya yang tidak diturunkan iaitu Stuart Wilkin, Daniel Ting dan Damien Lim.
“Yang merisaukan hanya tanpa minit apabila bersama pasukan kebangsaan selama seminggu atau dua minggu ini mungkin akan merencatkan sedikit tahap fizikal pemain seperti Stuart Wilkin, Daniel Ting dan Damien Lim yang tidak diturunkan. Ini agak merisaukan sedikit.”
Kim Swee bagaimanapun berkata beliau faham kerana Pan-gon pastinya mempunyai perancangan tersendiri.
Oleh itu, beliau berharap ketiga-tiga pemainnya yang tidak diturunkan dapat mengekalkan tahap kecergasan mereka kerana pada 31 Mac ini Sabah akan turun menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super.
Sementara itu, Kim Swee turut memberitahu sejak beliau mengambil alih pasukan The Rhinos, beliau tidak pernah menghalang pemain-pemainnya untuk menyertai pasukan kebangsaan walaupun bukan dalam kalendar FIFA.
“Kalau lihat sejak saya ambil alih Sabah, saya tidak pernah halang pemain atau tidak bekerjasama dengan pasukan kebangsaan. Bagi saya tentu ada pro and con. Pada masa sama bagi saya pasukan Sabah hanyalah pasukan yang menyumbang minoriti pemain kebangsaan.
Sebagai pemain bola sepak saya percaya semua pemain yang beraksi dalam liga ingin beraksi bersama pasukan kebangsaan walaupun bukan dalam kalendar FIFA. Sudah tentu saya boleh memikirkan tentang pentingnya sesuatu tugas jika diperlukan oleh pasukan kebangsaan.
Ini terpulang kepada pihak pengurusan, bukan saya sahaja, tapi bagi saya, saya akan cuba beri kerjasama yang terbaik untuk pasukan kebangsaan.”
Malam ini (28 Mac), skuad negara akan turun menentang Hong Kong dalam satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).