Jika kita ada liga yang bagus dan kompetitif, secara automatik kita boleh tingkatkan tahap pasukan – Kim Pan-gon
Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon mengakui beliau masih kecewa dengan beberapa aspek dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa yang ditempuhi oleh pasukannya pada jendela FIFA kali ini.
Menurutnya, masih ada lagi ruang yang perlu diperbaiki dan percaya perkara itu boleh dilakukan sekiranya tahap liga lebih baik.
“Kita perlu perbaiki lagi dari segi strategi dan taktikal, tetapi dari segi fizikal saya tak boleh perbaiki kerana ia berkaitan dengan standard liga, jika kita ada liga yang bagus dan kompetitif secara automatik kita boleh tingkatkan lagi tahap.
Anda boleh lihat ada pemain yang tidak cukup ‘match fitness’, jadi selepas ini saya mahu lihat semua pemain ini bermain lebih banyak dalam liga, bersaing dengan lebih baik supaya apabila mereka datang ke kem kebangsaan selepas ini mereka lebih cergas,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas perlawanan menentang Hong Kong yang menyaksikan Malaysia menang 2-0 sebentar tadi.
Sementara itu, beliau tetap gembira kerana pasukan berjaya mengekalkan momentum kemenangan pada dua perlawanan ini, dan memastikan rekod sebagai tuan rumah masih baik.
“Saya gembira kita menang lagi main di ‘home’, seingat saya kita sudah bermain 14 perlawanan di Malaysia sejak Mac lalu, dan hanya kalah satu perlawanan kepada Bahrain.
Ini menunjukkan bahawa Malaysia adalah kubu kita, sesiapa yang datang sini kita akan berikan kesukaran buat mereka.”
Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), kerana menyediakan fasiliti latihan yang baik kepada para pemain untuk berlatih kali ini,
Beliau turut berterima kasih kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan juga para penyokong kerana sentiasa memberi sokongan kepada dirinya.