Pasukan Malaysia semakin baik di bawah kendalian Kim Pan-gon – Yue Tze Nam
Pemain pertahanan Hong Kong, Yue Tze Nam mengakui pasukan kebangsaan Malaysia kini semakin baik sejak dikendalikan oleh Kim Pan-gon.
“Malaysia adalah pasukan yang bagus. Mereka telah memperlihatkan peningkatan yang cukup bagus dari tahun lalu kerana kami tahu kehebatan Kim Pan-gon kerana beliau pernah mengendalikan pasukan kami sebelum ini.
Prestasi mereka kini sudah setaraf dengan kami dan saya berharap Hong Kong dan Malaysia akan terus memperlihatkan peningkatan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 malam tadi, pasukan Hong Kong terpaksa akur dengan kehebatan Malaysia apabila mereka tewas 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Biarpun tewas, namun beliau tetap berpuas hati dengan permainan pasukannya apabila mereka berjaya melaksanakan taktikal yang telah dirancang oleh ketua jurulatih Jorn Anderson.
“Saya berpuas hati dengan permainan kami pada malam ini kerana kesemua pemain berjaya laksanakan taktikal oleh ketua jurulatih.
Sejujurnya aksi kami pada malam ini lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini, cuma kami hanya kecewa dengan keputusan sahaja.”
Dalam pada itu, Hong Kong juga antara salah sebuah pasukan yang akan bersaing dalam kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar pada Januari 2024 ini.
“Progres kami semakin bagus. Sejak kami dapat ketua jurulatih baru Jorn Anderson tahun lalu dan kini semua pemain sudah mula semakin baik dan berharap pada kejohanan Piala Asia nanti kami akan dapat keputusan positif.”