Bukan mudah main ‘away’ di Malaysia, tak banyak pasukan yang menang di sini – Jorn Andersen
Ketua jurulatih Hong Kong, Jorn Andersen menganggap pasukannya telah melakukan yang terbaik dan gembira dengan persembahan yang ditunjukkan para pemain walaupun tewas kepada Malaysia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa sebentar tadi.
Katanya, tidak mudah untuk bermain ‘away’ di Malaysia dan beliau melihat ada beberapa perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan malam ini.
“Saya berpuas hati dengan pemain pada hari ini kerana mereka berjuang habis-habisan dan kita juga ada cipta beberapa peluang cuma kita tidak bernasib baik.
Tetapi apa-apa pun ini adalah pengalaman yang baik buat pasukan, tidak mudah untuk bermain ‘away’ di Malaysia, tak banyak pasukan yang menang di sini,”
katanya.
Beliau berkata barisan serangan beliau harus diperbaiki lagi kerana mensia-siakan banyak peluang yang terhidang.
Tambahnya, beliau masih lagi menunggu seorang pemain naturalisasi di bahagian serangan yang diyakini mampu meningkatkan tahap pasukan.
“Saya kira kita ada tujuh hingga sembilan peluang pada malam ini, tetapi barisan serangan kita agak bergelut untuk menyudahkan peluang.
Kita perlu perbaiki lagi perkara itu, saya rasa jika kita berjaya mendahului perlawanan hari ini keputusan akhir mungkin berbeza.”
Menurut Andersen, beliau berharap dapat menjemput Malaysia pula untuk perlawanan persahabatan di Hong Kong pada masa depan.
Katanya, bermain di tempat sendiri pastinya boleh memberi kelebihan kepada pasukannya.