Romel Morales serahkan proses naturalisasinya kepada KL City FC untuk uruskannya
Pemain tengah KL City FC, Romel Morales tidak bimbang atau terlalu memikirkan soal proses naturalisasinya buat masa ini kerana beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusan kelabnya.
Morales berkata ketika ini fokusnya hanya untuk bantu pasukan mendapat keputusan positif dalam setiap perlawanan mereka.
“Kelab saya sedang uruskan soal proses naturalisasi ini kerana mereka lebih tahu daripada saya, jadi saya harap dalam masa terdekat ini proses itu akan berjaya.
Fokus saya kini 100% kepada KL City kerana saya mahu bantu pasukan untuk memperoleh kemenangan dalam setiap perlawanan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau juga berkata pasukannya kini sedang membuat persiapan rapi menjelang Lembah Klang derby yang akan menyaksikan KL City akan menentang Selangor FC esok.
“Ya ini adalah perlawanan istimewa tapi kami tahu cara nak bermain perlawanan ini kerana kami sudah banyak kali bermain dalam perlawanan ini sejak saya sampai di sini dua tahun lalu.
Saya rasa kita selalu bermain dengan baik apabila menentang Selangor, jadi kami perlu terus lakukan yang terbaik nanti.”
Morales pada masa sama juga berkata pasukannya juga sudah pun mengetahui corak permainan lawan dan kualiti pemain yang mereka ada, namun mereka akan cuba sedaya upaya untuk pastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
Dalam pada itu, Morales juga mengulas mengenai spekulasi mengenai dirinya menerima beberapa tawaran daripada kelab lain, namun mahu menunggu proses naturalisasinya selesai terlebih dahulu.
“Setakat ini tiada sebarang tawaran rasmi. Saya tahu mereka bercakap mengenai perkara ini tapi tiada sebarang tawaran rasmi lagi. Jadi fokus saya hanya kepada pasukan saya sahaja ketika ini.”