Jadi penjaring terbanyak Liga Super bukan keutamaan Fernando Forestieri
Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri tidak pernah meletak sasaran untuk menjadi penjaring terbanyak Liga Super pada musim ini walaupun beliau kini menjadi penjaring terbanyak selepas enam perlawanan apabila sudah menjaringkan enam gol.
Menurut Forestieri, beliau tidak kisah dapat menjaringkan gol atau tidak kerana keutamaannya adalah untuk memastikan JDT memperoleh kemenangan dalam setiap perlawanan.
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya mahu jadi penjaring terbanyak liga kerana saya tak kisah siapa-siapa pun yang jaringkan gol, yang penting kami menang,”
katanya.
Forestieri terus mengganas apabila beliau berjaya menjaringkan gol keempat pada penghujung babak kedua untuk memberikan JDT kemenangan bergaya 4-0 menentang Sabah FC malam tadi.
Kemenangan ini menyaksikan JDT terus berada di puncak Liga Super selepas enam perlawanan dengan mengutip 18 mata.
Dalam pada itu, pemain berasal dari Argentina itu juga mengakui rindu untuk kembali bergandingan dengan Bergson da Silva selepas pemain itu sudah tidak diturunkan sejak beberapa perlawanan berikutan mengalami kecederaan.
“Beliau (Bergson) akan diturunkan apabila sudah pulih sepenuhnya tidak lama lagi. Walaupun beliau tidak diturunkan, kita masih mempunyai ramai pemain berkualiti seperti Diogo Luis Santo.”
Dalam pada itu, Forestieri juga enggan memandang rendah kepada pasukan Perak FC yang akan ditentang oleh mereka pada 4 April ini walaupun di atas kertas mereka adalah pasukan yang lebih baik. Perak merupakan salah sebuah pasukan yang mempunyai majoriti pemain muda dan sedang bergelut apabila hanya berjaya menang satu perlawanan sahaja dari enam perlawanan yang diharungi.
“Perlawanan menentang Perak adalah satu lagi perlawanan sukar buat kami kerana kami bermain di tempat lawan. Apa pun kami akan bermain dengan corak permainan kami sendiri dan cuba dapatkan keputusan positif.”