India, Lubnan setuju sertai King’s Cup selepas terima pelawaan Pestabola Merdeka
Setelah sembilan tahun menyepi, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan bahawa kejohanan bersejarah Pestabola Merdeka akan kembali semula pada tahun ini.
FAM telah mengesahkan bahawa tiga negara telah bersetuju untuk menyertai aksi tersebut iaitu Lubnan, India dan juga Palestin.
Ia dianggap sebahagian daripada persiapan pasukan negara untuk menghadapi kejohanan Piala Asia yang akan berlangun pada Januari tahun depan.
Namun nampaknya bukan Malaysia sahaja yang cuba beradu tenaga dengan pasukan Lubnan dan India, kerana Thailand juga dilaporkan sudah menjemput kedua-dua negara itu bagi kejohanan King’s Cup yang akan berlangsung lebih awal iaitu pada September.
Kedua-dua kejohanan itu akan berlangsung pada dua FIFA window yang berbeza dan semestinya boleh menjadi kayu pengukur kepada persiapan Malaysia dan Thailand dalam menghadapi Piala Asia.
Agak pelik juga sebenarnya Lubnan dan India bersetuju untuk menghadapi Malaysia dan Thailand yang berjiran dalam dua kejohanan yang berbeza dengan jaraknya hanya kira-kira sebulan.
Lagipun, kekuatan Thailand dan Malaysia boleh dikatakan tidak begitu jauh, tetapi mungkin terdapat sebab tertentu mereka bersetuju untuk menyertai kedua-dua kejohanan itu.
Namun, ia adalah satu perkara yang baik buat Malaysia kerana bakal berdepan dengan pasukan yang lebih kuat, termasuk Palestin, bagi persediaan Piala Asia.