Argentina pilih Vietnam adakan perlawanan persahabatan antarabangsa Jun ini

1,895

Peminat bola sepak di Asia Tenggara kecoh seketika baru-baru ini apabila menerima perkhabaran bahawa Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dilaporkan sudah bersetuju untuk menentang salah satu wakil rantau tersebut pada ‘FIFA Window’ Jun ini.

Terdapat beberapa negara yang dilihat antara calon yang dipilih untuk perlawanan persahabatan itu seperti Indonesia dan Vietnam, dengan kehadiran bintang-bintang yang menjulang Piala Dunia Disember tahun lalu seperti Lionel Messi ditunggu-tunggu.


Ramai yang sudah tidak sabar untuk menonton perlawanan itu di depan mata sendiri sekiranya benar kerana peluang itu pastinya tidak selalu hadir.

AFA akhirnya mengesahkan bahawa pihaknya akan bermain menentang lawan dari Asia Tenggara pada Jun ini, namun bukanlah pasukan bola sepak lelakinya.

Mereka mengesahkan bahawa pasukan futsal negara itu yang akan turun menentang Vietnam dalam satu perlawanan persahabatan.

Ia adalah sebagai salah satu perlawanan persediaan untuk pasukan Vietnam dalam siri jelajah Amerika Selatannya, menjelang kelayakan Piala Futsal Asia pada 2024.

Walaupun sangkaan itu ternyata meleset daripada kalangan peminat bola sepak, namun untuk Vietnam sendiri ia pastinya satu peluang untuk meningkatkan lagi tahap futsal mereka menentang pasukan di ranking kelima dunia itu.

Vietnam yang berada di ranking ke-39 dunia pastinya mahu memperbaiki kedudukan mereka dalam kejohanan itu selepas tersingkir pada edisi 2022 di pusingan suku akhir.

Buat masa ini, mungkin harapan untuk menyaksikan pasukan bola sepak Argentina menentang salah satu negara Asia Tenggara dalam perlawanan persahabatan masih lagi menjadi mimpi.

Tetatpi tidak mustahil dengan peningkatan yang ditunjukkan beberapa negara, ia boleh menarik Argentina untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada masa hadapan.