Malaysia dijemput sertai SAFF Championship 2023, tetapi lebih baik jika FAM tolak

4,520

Skuad Harimau Malaya telah dijemput untuk menyertai South Asian Football Federation (SAFF) Championship yang dijangka bakal berlangsung pada bulan Jun 2023 apabila perkara ini telah dinyatakan oleh Presiden SAFF sendiri, Kazi Salahuddin dimana dua pasukan akan dijemput dalam kejohanan tersebut iaitu Malaysia dan Arab Saudi B-23.

Kejohanan ini mengumpulkan enam pasukan daripada Asia Selatan yang bakal bersaing merebut kejuaraan seperti India, Bangladesh, Maldives, Nepal, Pakistan, dan Bhutan.


Persoalannya adakah berbaloi pasukan negara melibatkan diri dalam kejohanan SAFF ini? Banyak aspek yang perlu dilihat dan diteliti semula sebelum FAM membuat keputusan menerima pelawaan tersebut.

Apabila dilihat dari segi tarikh dan masa kejohanan tersebut berlangsung, ia agak tidak sesuai buat skuad negara untuk menyertainya, dimana kejohanan tersebut bakal dilangsungkan pada bulan Jun 2023 dan skuad negara juga dijadualkan bakal menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa berdepan pasukan Yaman dan Solomon Islands.

Tambahan lagi kejohanan tersebut bakal dilangsungkan di luar kalender FIFA yang tidak memberi keuntungan kepada skuad negara dari segi mata ranking.

Malah saingan Liga Malaysia juga sedang berlangsung pada ketika itu dan akan menyukarkan kelab-kelab untuk melepaskan pemain mereka bagi menyertai kejohanan tersebut.

Kejohanan tersebut juga akan dimainkan dalam peringkat kumpulan sebelum diteruskan dalam peringkat kalah mati dan apabila melihat situasi tersebut, pasti jadual perlawanan yang agak padat bakal dilalui dalam kejohanan seperti ini dan ia akan memberi risiko kepada para pemain negara untuk mengalami kecederaan jika bermain dalam kejohanan tersebut. 

Kedudukan ranking pasukan yang bertanding juga dilihat rendah berbanding ranking Malaysia. Hanya pasukan India sahaja yang menduduki ranking di atas pasukan negara dalam kedudukan ke-106 dunia.

Ia akan merugikan dari segi pungutan mata ranking FIFA serta jika pasukan negara tewas dengan pasukan yang mempunyai kedudukan ranking yang lebih rendah, ia turut memberikan impak dari segi penolakan mata FIFA.

India merupakan juara bertahan dalam kejohanan ini serta telah menjuarai sebanyak 8 kali kejuaraan SAFF Championship.