Ong Kim Swee anggap masih awal untuk nilai saingan Liga Super 2023, punyai misi raih satu trofi bersama Sabah FC

180

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menganggap saingan liga masih terlalu awal untuk mengangkat bendera putih dalam misi berada di kelompok teratas Liga Super dan meraih satu trofi pada musim ini.

Katanya, anak-anak buahnya harus bangkit segera daripada kekalahan di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan perlu kekal konsisten dalam setiap perlawanan selepas ini.


“Saingan musim ini masih terlalu awal lagi, pusingan pertama pun belum habis lagi. Apa yang penting adalah kita harus kekal konsisten seperti yang kita lakukan pada tahun lalu.

Apabila menuju ke penghujung musim ia adalah penting untuk kita kekalkan momentum dan perbaiki pasukan untuk berada di kelompok tiga teratas seperti tahun lalu dan sudah tentu untuk meraih satu piala sama ada Piala FA, Piala Malaysia atau Piala AFC,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, tidak mudah untuk bangkit semula selepas tewas 4-0 kepada JDT Jumaat lalu, tetapi percaya para pemain tahu apa yang perlu dilakukan.

Beliau menjangkakan perlawanan esok menentang KL City FC tidak mudah kerana pasukan lawan sedang memburu kemenangan sulung mereka.

“Apabila tewas tidak mudah untuk bangkit kembali terutama apabila bermain di gelanggang lawan tetapi para pemain tahu apa tugas mereka.

Untuk jadi pasukan yang baik dan boleh bersaing, kita harus belajar bangkit daripada kekalahan seperti ini.”

Menurut Kim Swee, beliau sentiasa menilai prestasi pasukan sepanjang kempen liga berlangsung untuk terus memperbaiki segala kelemahan.

Jelasnya, ia membolehkan beliau menilai sama ada pasukan cukup baik atau memerlukan pertukaran menjelang saingan Piala AFC yang akan bermula September ini.