Perak FC perlukan import yang berkualiti pada jendela perpindahan kedua liga
Umum mengetahui skuad kendalian Lim Teong Kim (LTK), Perak FC merupakan skuad termuda dalam saingan Liga Super dengan dibarisi rata-rata pemain muda tempatan dalam lingkungan umur 19 hingga 26 tahun.
Walaupun pasukan tersebut mementingkan pendedahan kepada para pemain mudanya, tetapi ia sudah pasti memerlukan masa untuk mencapai tahap permainan pasukan yang sebenar.
Untuk setakat tujuh perlawanan ini, impak pemain senior dan pemain import masih belum dapat dilihat dalam membantu para pemain muda yang lain dan ia sedikit sebanyak akan merencatkan perancangan LTK dalam saingan liga musim ini.
Pasukan Perak perlu segera membuat perubahan pada jendela perpindahan kedua liga bagi memastikan pasukan tersebut mampu terus bersaing dalam kancah Liga Super.
Jika tidak ia pasti akan memberikan lebih tekanan kepada para pemain dan barisan kejurulatihan walaupun Pengerusi Perak FC Dato’ Seri Abdul Azim memahami pasukan ini memerlukan masa dengan pemain muda yang ada.
Skuad The Bos Gaurus ini mempunyai enam orang pemain import tetapi LTK tidak menggunakan kesemua pemain import yang ada dalam setiap perlawanan, malah beliau lebih mempercayai para pemain mudanya.
Ia sudah tentu adalah satu kerugian kerana pengambilan pemain import ini adalah untuk menambah lagi kekuatan pasukan dan mereka juga merupakan contoh kepada pemain tempatan atas pengalaman yang mereka ada.
Jadi penyelesaian jangka masa pendek bagi memastikan pasukan ini dapat terus memberikan saingan dalam liga adalah dengan penukaran pemain import ataupun membeli pemain import yang baru untuk menguatkan lagi pasukan yang sedia ada.
LTK perlu mencari pemain import yang boleh membantu pasukan serta membimbing para pemain muda ketika di atas padang dengan peranan tertentu kerana ia amat penting untuk memastikan pasukan sentiasa dalam keadaan yang terbaik semasa perlawanan berlangsung.
Sudah pasti LTK merupakan jurulatih yang berpengalaman dalam skuad pembangunan bola sepak serta aura dan karakternya juga berbeza dengan jurulatih Malaysia yang lain dimana beliau lebih lantang bersuara dan memberikan respon yang berbeza.
Jurulatih kelahiran Melaka ini dilihat persis jurulatih terkenal dunia Jose Mourinho yang juga mempunyai karakter yang sama dan ia telah terbukti perwatakan jurulatih seperti ini mampu memberikan impak kepada pasukan yang dikendalikan oleh mereka.