JDT perlu main di AFC Super League untuk lebih cabaran
Saingan Liga Super baru sahaja memasuki tujuh perlawanan tetapi skrip yang sama seperti saingan musim lepas telah pun terlihat dalam saingan liga tahun ini.
Ia apabila pasukan gergasi dari selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mendominasi saingan liga dengan tujuh kemenangan berturut-turut dimana mereka sudah pun berjaya menjaringkan 30 gol dan hanya bolos satu gol sahaja.
Ini menunjukkan hampir sedekad JDT menguasai saingan Liga Super tanpa cabaran yang sengit daripada mana-mana pasukan lain, malah mereka turut mendominasi sepenuhnya saingan liga bola sepak Malaysia daripada pelbagai aspek.
Perkara ini dapat dilihat apabila kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail dimana baginda berkata tanpa JDT tiada liga ini, tiada keuntungan daripada hak penyiaran kepada kelab, stadium lawan tidak akan penuh, tiada tempat latihan canggih untuk pasukan negara, tiada pasukan Malaysia yang bermain di ACL dan tiada berita.
TMJ turut mengatakan perkara tersebut adalah fakta dan JDT telah mengukuhkan nilai komersial bola sepak Malaysia secara tidak langsung.
Memandangkan JDT seolah-olah tiada tandingannya dalam saingan Liga Super dan cabaran sebenar buat pasukan Harimau Selatan itu hanya akan hadir apabila mereka beraksi di saingan AFC Champions League (ACL).
Jika mereka mahukan cabaran sebenar, mungkin JDT boleh mempertimbangkan untuk bersaing dalam AFC Super League (ASL) yang mungkin akan diperkenalkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) nanti.
Cadangan untuk mewujudkan ASL ini diketengahkan adalah mahu mengumpulkan kelab-kelab bola sepak elit di rantau Asia untuk bersaing dalam satu liga yang mana ia menawarkan wang hadiah berjumlah lebih RM59 juta.
ASL dijangka hanya melibatkan 24 kelab terbaik di Asia dan merupakan pertandingan yang berbeza serta menjanjikan hadiah lebih lumayan berbanding ACL dan Piala AFC pada ketika ini.
Jika ASL ini berjaya dijalankan sudah pasti pasukan Malaysia yang paling tepat dan layak untuk menyertainya adalah pasukan JDT dan ia mungkin pentas sebenar pasukan tersebut untuk mendapatkan cabaran daripada kelab-kelab terkemuka Asia.
Melihat kepada prestasi luar dan dalam pasukan JDT, ia bukanlah satu masalah buat mereka untuk terlibat dan bersaing dalam liga tersebut kerana mereka mempunyai kelengkapan dan kewangan yang cukup untuk bertanding sebagai pasukan elit.
Ia pasti menarik jika dapat lihat pasukan daripada Malaysia dapat bertanding dengan kelab-kelab gergasi Asia seperti Buriram United, Al Hilal, Kawasaki Frontale dan yang lain.
Walau bagaimanapun, AFC masih lagi meneliti dan berbincang mengenai format pertandingan dan dijangka bakal dimulakan pada tahun 2024/25 serta ia adalah satu usaha untuk memartabatkan pertandingan peringkat kelab di Asia daripada segi komersil.
Bagaimanapun persoalannya kini, adakah JDT mampu menjadi kelab elit untuk melayakkan mereka bersaing dalam ASL kelak?
Tidak dapat dinafikan, di rantau Asia Tenggara sememangnya JDT sememangnya antara kelab yang terbaik tetapi apabila masuk ke peringkat Asia, juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu tampak bergelut untuk menyaingi terutamanya kelab dari J League.
Sebagai contoh, JDT musim lalu telah mencipta sejarah tersendiri apabila layak ke pusingan 16 ACL buat pertama kali dalam sejarah, namun perjuangan mereka berakhir di situ sahaja apabila mereka dibelasah oleh Urawa Red Diamonds 5-0.
Untuk makluman, Urawa Red Diamonds pada musim lalu menamatkan saingan liga domestik di kedudukan kesembilan liga.
Namun disebalik prestasi tidak konsisten mereka di liga, mereka berjaya layak ke perlawanan akhir ACL yang mana mereka akan bertemu dengan gergasi dari Asia Barat iaitu Al Hilal pada 29 April dan 6 Mei ini.